KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) dan logo gabungan itu sepatutnya dilancarkan hari ini di Sabah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena lawatannya ke negeri itu.
Namun majlis berkenaan dibatalkan pada saat-saat akhir.
Menurut sumber, pembatalan program itu baru diputuskan malam tadi namun kesahihan berita itu tidak dapat dipastikan.
Difahamkan, cadangan awal, Perdana Menteri akan melancarkan PN pukul 2 petang ini namun lewat malam tadi ada sedikit perubahan dalam jadual itu.
Sabah di pilih sebagai simbolik berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PN yang kini didakwa mempunyai enam parti gabungan dengan masing-masing akan menggunakan lambang parti masing-masing pada pilihan raya tersebut.
Ada media melaporkan antara punca pelancaran PN dibatalkan hari ini atau mungkin menangguhkannya ke tarikh lain kerana parti-parti di Sabah yang sepatutnya mendaftar gabungan itu kini belum mencapai kata sepakat malah rundingan masih belum diselesaikan.
Justeru pelancaran dibatalkan dengan alasan tidak mahu ia akan menjejaskan proses rundingan yang berjalan.
Malah sebuah majlis tertutup bersama pemimpin parti politik Sabah yang dirancang petang ini juga tidak dapat diteruskan, menurut sumber.
Selain itu, antara alasan kuat yang menyebabkan pembatalan pelacaran PN hari ini kerana terdapat ‘kekusutan dalaman’ antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga UMNO di negeri itu.
Antaranya berkaitan kerusi yang dipertandingkan.
Malah ada mendakwa ketegangan antara satu sama lain kerana kini dengan adanya ‘kem Azmin’ yang juga berebut serta enggan mengalah dalam isu rundingan kerusi.
Sebelum ini, beberapa hari lepas media Singapura, Straits Times yang memetik sumber seorang pemimpin Bersatu mendakwa pelancaran itu juga dilakukan sejurus selepas penyertaan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama kumpulannya pada minggu lepas.
Katanya, ia merupakan langkah terakhir dalam rancangan Muhyiddin melancarkan gabungan tersebut.
Straits Times juga melaporkan PBS dan PBRS akan menyertai gabungan itu yang mahu mengambil alih kerajaan Sabah daripada parti Warisan.
Sumber yang tidak dinamakan itu memberitahu, rundingan yang dilakukan setakat ini bersetuju 113 kerusi di kawasan majoriti Melayu milik PN akan ditandingi penyandang masing-masing namun pertukaran kerusi boleh dibincangkan.–MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Muhyiddin lancar Perikatan Nasional di Kota Kinabalu Sabtu ini?