Home Nasional IPD Muallim terima 5 laporan polis berhubung PRK DUN Slim

IPD Muallim terima 5 laporan polis berhubung PRK DUN Slim

Ketua Polis Daerah Muallim , Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim menerima dua lagi laporan polis sepanjang tempoh 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berlangsung.

Ia menjadikan kesemuanya lima laporan diterima pihak berkuasa itu sepanjang tempoh berkempen pada PRK DUN berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan keempat yang diterima pihaknya adalah berkaitan flyer profil calon yang diedar bersama bendera Malaysia dengan tertera sumbangan Jabatan Penerangan.

Sementara laporan kelima melibatkan satu kes tidak puas hati terhadap penceramah yang berkempen.

Sulizmie Affendy berkata, laporan itu dibuat dua hari sebelum tamat tempoh berkempen dan ia masih lagi disiasat.

Jelas beliau, laporan yang diterima itu akan dirujuk kepada lain-lain agensi bertanggungjawab.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas siapa penceramah yang dilaporkan itu.

Kes berkenaan turut dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, SulizmieAffendy berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis di mana laporan pertama disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) iaitu perbuatan khianat kepada harta benda.

“Manakala laporan kedua diterima pada 22 Ogos berkaitan satu muat naik ciapan di media sosial berkaitan dengan perkara yang tidak benar dan selesai selepas pengadu berpuas hati atas permohonan maaf pemilik akaun media sosial terbabit, “katanya.

Laporan yang ketiga pula kata beliau diterima pada 23 Ogos berkaitan satu karnival yang berlangsung di DUN Slim dan pihak kes dirujuk kepada SPR dan SPRM.

Mengulas mengenai proses pengundian, Sulizmie Affendy memberitahu setakat pukul 4 petang tadi semuanya berjalan lancar.

“Hari ini setakat jam ini tiada laporan polis dibuat,” katanya.

Pemantauan bersama Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain di sekitar pusat mengundi juga mendapati prosedur operasi standard SOP dipatuhi, kata beliau.

Pihaknya turut menasihati penyokong untuk tidak berkumpul di pusat penjumlahan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim, malam nanti.

Sekatan jalan raya akan dilakukan di jalan Ipoh Kuala Lumpur bagi mengawal trafik menjelang pengumuman keputusan malam ini. – MalaysiaGazette

+ posts