KUALA LUMPUR – Malaysia tidak pernah menerima tiga tokoh Hamas sebagaimana yang digembar-gemburkan media tempatan dan antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata berdasarkan risikan negara, tiada maklumat ketiga-tiga pemimpin Hamas itu berada di negara ini.
“Saya ingin menafikan khabar angin menyatakan tiga tokoh Hamas dari Palestin yang mendapat perlindungan di Qatar sedang berada di negara ini.
“Kerana nama yang kita peroleh dari sumber inteligen dan disemak oleh Jabatan Imigresen tidak ada nama itu berada di Malaysia,” katanya dalam sidang media program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan di PULAPOL malam tadi.
Sebelum ini, The Times of Israel membuat laporan mendakwa pemimpin tertinggi Hamas yang diarah keluar oleh Qatar, kini berada di Malaysia.
Antaranya Saleh al-Arouri, individu dipercayai bertanggungjawab menguruskan dan memberi arahan kepada ahli Hamas di Tebing Barat.
Dia antara tokoh tertinggi Hamas yang meninggalkan Qatar atas permintaan negara itu.
Dalam perkembangan lain, Malaysia, kata Ahmad Zahid seboleh mungkin untuk mengekalkan hubungan dengan sebarang negara.
Ujar beliau, Malaysia kini dalam proses mengikuti rapat perkembangan berhubung krisis diplomatik di antara Qatar dengan empat buah negara Arab lain.
“Sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, kita masih kekalkan hubungan dengan semua negara. Pergolakan itu adalah permasalah serantau.
“Malaysia ingin bersahabat dengan semua negara. Kita harap dapat diselesaikan segera. Perpaduan adalah asas kemakmuran serantau,” katanya lagi.
Pada Isnin lalu, empat buah negara Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dan menutup pintu-pintu sempadan dengan Qatar. -MalaysiaGazette.