Home Politik Menang di PRK, jangan terlalu selesa – Annuar Musa

Menang di PRK, jangan terlalu selesa – Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Shanthara Kumar (tengah) hadir pada Majlis Perarakan Unit Berkuda Perkhidmatan Awam sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Wilayah Persekutuan dan sambutan Jubli Perak Putrajaya di Dataran Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menasihati agar gabungan itu tidak terlalu selesa selepas memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak semalam.

Ujarnya, sikap selesa dengan segala kemenangan yang kecapi oleh BN sejak PRK Cameron Highlands boleh membawa situasi bahaya kepada gabungan itu kelak.

“Kita kena belajar dari PRU14 lalu. Sementara kita terima kasih, senang hati dan bersyukur kita menang dengan majoriti besar semalam, jangan itu melalaikan.

“Jangan ambil mudah, dan rasa denyut nadi akar umbi. Kita kena tahu apa yang rakyat mahu bila kita umumkan PRU kelak.

“Jangan asyik seronok sendiri dengan benda yang sudah berlaku pada masa yang lepas. BN, MN dan PN perlu tahu akan itu. Kita telah bekerja keras, setiap PRU adalah penting dan kita kena buang sikap menganggap perkara akan jadi mudah.

“Yang bulat takkan datang bergolek yang pipih takkan datang melayang,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan raptai penuh perarakan pasukan berkuda di Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Hadir sama adalah timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Amiruddin Hassim.

BN semalam menang besar di PRK Slim apabila calonnya, Mohd Zaidi meraih 13,060 undi menewaskan dua calon bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan S Santharasekaran, yang memperoleh 276 undi.

Mohd Zaidi yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi berikutan 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Annuar berkata, BN dan UMNO tidak harus terus selesa dengan momentum kemenangan yang diraih sebelum ini.

“Bila keyakinan itu maknanya kita masuk zon bahaya. Sebelum PRU14, BN menang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, jadi ramai yang kata kita akan menang dengan mudah.

“Pada PRU14 kita tahu apa yang berlaku. Saya nak ingatkan diri saya dan pemimpin parti jangan selesa. Menang semalam bukan bermakna menang mudah untuk Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mandat baru, Annuar berkata, semua kepimpinan bersetuju akan kenyataan itu.

“Kita boleh setuju malah kita semua di Perikatan Nasional menyetujuinya tetapi soalnya keutamaan. Kerajaan ini harus menyelamatkan negara dari 22 bulan kegagalan bekas pemerintah untuk melaksanakan janji-janji mereka.

“Sudah tentu kita boleh setuju untuk mengatakan bahawa kerajaan ini memerlukan mandat yang kuat dan mandat baru lagi cepat lagi bagus.

“Tetapi itu tidak bermaksud kita perlu suruh kerajaan buat PRU.

“Bangun dari tidur terus nak buat PRU. Kita mesti bertindak secara bijaksana dan stabilkan negara pulihkan ekonomi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Perdana Menteri harus mengadakan rundingan dengan semua parti yang menyokong PN.

“Bukan hanya parti kita, tetapi UMNO dan BN merasakan bahawa kita perlu mendapat mandat segar oleh rakyat.

“Pada masa yang sama kita harus berfikir dengan teliti, bangsa dan Rakyat terlebih dahulu.

“Biarkan pemimpin parti memutuskan bila waktunya yang tepat. Keprihatinan kita sekarang adalah soal nasib rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette