Home Seni Hidup Semarakkan semangat patriotisme menjelang Hari Merdeka

Semarakkan semangat patriotisme menjelang Hari Merdeka

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 Jalur Gemilang dan baju khas diedarkan kepada pemandu kenderaan dan pejalan kaki yang melalui kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dalam program Semarak Merdeka 2020 sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang Ke-63 esok.

Program anjuran bersama oleh Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya (Pakar Berjaya) dan Kementerian Wilayah Persekutuan itu turut dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Ser Dr. Edmund Santhara.

Beliau berkata, program sambutan ambang merdeka sangat digalakkan sebagai peringatan kepada rakyat terutama generasi belia supaya mengekal dan menghargai keamanan tanah air.

“Pihak kementerian sentiasa menyokong program yang dianjurkan oleh pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti yang dilakukan oleh pakar pada hari ini.

“Ia simbolik kepada kefahaman rakyat yang telah menikmati erti kemerdekaan negara dan meraikan dengan cara paling sederhana,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pakar Berjaya di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Pakar Berjaya, Datuk Mahadi Badrul Zaman berkata, program Semarak Merdeka 2020 diadakan bertujuan sebagai usaha menyemarakkan semula semangat patriotik dalam kalangan masyarakat yang mungkin telah menjadi agak suram akibat penangan wabak COVID19 masa kini.

“Walaupun Negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), program ini masih kami teruskan tetapi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan virus (COVID19).

“Justeru pada program kali ini kami ubah sedikit cara demi menjaga jarak fizikal dan mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dengan hanya mengedarkan bendera dan cenderahati kepada pemandu kenderaan dan pejalan kaki di sekitar ibukota dan tiada acara larian seperti tahun sebelum ini” ujarnya.

Tambahnya lagi, program yang bakal dijadikan acara tahunan itu mendapat sambutan penyertaan awal yang memberangsangkan melebihi daripada 1,000 orang sukarelawan dan orang awam, akan tetapi demi mematuhi langkah keselamatan mereka hanya menerima segelintir daripadanya untuk menjadi sukarelawan program.

“Kami telah bermula pada tahun lepas dan berhasrat untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan. Saya kira ia adalah sebagai usaha murni di samping menyahut seruan kerajaan bagi sama sama mengukuhkan lagi perpaduan dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Melalui program pada hari ini kami berharap supaya orang ramai tidak lupa untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara kita. Inisiatif begini sangat baik dan patut diperbanyakkan lagi, terutamanya kepada golongan belia supaya mereka berpeluang untuk mendalami erti sebenar kemerdekaan dan semangat cinta pada negara.”

“Hargai pengorbanan wira-wira negara kita terdahulu dan petugas barisan hadapan kini yang memastikan kita semua hidup selamat dan aman damai. Kemakmuran negara hanya akan dapat dipelihara jika rakyat Malaysia berganding bahu dalam apa jua cabaran yang dihadapi. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya lagi.

Sementara itu, hadir sama pada program itu adalah Penaung Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, Timbalan Presiden, Lokman Tamziz, Setiausaha Agung, Datuk Mahathir Badrul Zaman dan Datuk endahari Kehormat, Mohamed Aswan.

Pakar Berjaya merupakan sebuah NGO dimana fokus utamanya adalah untuk memperkasakan golongan usahawan di Malaysia. – MalaysiaGazette