KUALA LUMPUR – Muzzammil Ismail didakwa mengeluarkan kenyataan yang amat biadap kepada Datuk Nur Jazlan Mohammed apabila menyifatkan Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu ibarat koronavirus (Covid-19) dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Muhammad Shaqib Shahrilnizam berkata, pihaknya mengutuk tindakan Muzzammil yang melacurkan nama orang muda dan bersikap penafian terhadap partinya yang semakin terumbang-ambing meminta nyawa kepada orang lain kerana mereka tiada roh dan akar umbi seperti UMNO.
Tambahnya, tindakan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencanang tentang penyatuan politik adalah munafik semata-mata.
”Masakan tidak, naratif yang dibawa oleh kepimpinan Bersatu seperti yang saya kata sebelum ini sudah ternyata, apa yang diperkatakan oleh Datuk Nur Jazlan berkenaan dengan Tan Sri Muhyiddin membeli Ahli Parlimen termasuklah mengajak Salehuddin Ayub, Ahli Parlimen Pulai sertai Bersatu adalah betul
”Jangan menyangkal perkara yang hakiki, Muzzammil harus berprinsip dalam politik, jangan memalukan orang muda yang berpartisipasi dalam dunia politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Baru-baru ini Nur Jazlan meminta Muhyiddin berhenti ‘berdagang’ bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen sebelum pembentangan bajet Oktober ini.
Ini kerana, dakwa Nur Jazlan sejak kebelakangan ini Perdana Menteri sibuk ‘membuat dagangan’ supaya parti dipimpin beliau dan PN dapat terus mengekalkan kuasa sehingga tempoh mandat tamat dua tahun lagi.
Kata beliau, Muhyiddin perlu menerima kenyataan Bersatu dan PN berada dalam keadaan yang amat rapuh sekarang.
Susulan kenyataan itu, Muzzammil tampil berkata, jika ada lima orang (pemimpin) macam Nur Jazlan maka terkuburlah kesepakatan PN yang dibina di atas prinsip perikatan.
Shaqib berkata, Muzzammil telah memalukan golongan orang muda dengan menghantat surat untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan Kedah.
”Janganlah melacurkan hasrat orang muda demi kepentingan politik. Muzzammil seharusnya menggerakkan agenda orang muda dengan lebih radikal dan menjatuhkan maruah diri dengan menjilat pemimpin atasan seperti yang dia lakukan sebelum ini berkenaan dengan kenyataan Tun Mahathir terhadap perlantikan kuasa mutlak oleh PM tanpa konsultasi awam yang menidakkan suara rakyat.
”Saya telah mengeluarkan kenyataan yang banyak berkenaan dengan partisipasi orang muda dalam politik, alam sekitar dan prinsip berbanding dengan Muzzammil yang cakap omong kosong dan kurang menekan kepentingan orang muda,” ujarnya.
Orang muda pada hari ini mahukan representasi dalam politik yang adil dengan prinsip yang jelas selaras dengan agenda orang muda seluruh dunia yang menggerakkan naratif ekuiti antara generasi. – MalaysiaGazette