Home Utama Majoriti pengundi puas hati dengan Muhyiddin, kerajaan PN- Merdeka Center

Majoriti pengundi puas hati dengan Muhyiddin, kerajaan PN- Merdeka Center

Arkib Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan buku senarai kabinet pada sidang media khas pengumuman pelantikan barisan jemaah menteri baharu kerajaan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2020.

KUALA LUMPUR- Kira-kira 69 peratus pengundi berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center itu menunjukkan sembilan daripada 10 orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak memberikan tanda bagus kepada prestasi Ahli Parlimen Pagoh itu disusuli kaum India sebanyak 65 peratus.

Bagaimanapun hanya 33 peratus pengundi Cina yang berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin.

“Penarafan terhadap Perdana Menteri ini terus meletakkan beliau dalam keadaan selesa dan positif memandang beliau memegang jawatan ini sejak Mac 2020,” kata pusat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Selain Muhyiddin, prestasi kerajaan Persekutuan juga mendapat penilaian baik daripada orang ramai di mana 58 peratus pengundi gembira dengan Perikatan Nasional dan hanya 28 peratus sahaja yang tidak berpuas hati dan marah.

“Apa yang menarik adalah jurang pendapatan merupakan salah satu petunjuk yang membezakan responden yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan prestasi kerajaan.

“Kira-kira tiga suku responden yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM2,000 sebulan melahirkan pandangan yang positif terhadap kerajaan Persekutuan namun dalam kalangan kumpulan berpendapatan lebih tinggi daripada RM7,000 hanya 40 peratus sahaja yang berpuas hati.

Kajian yang siap pada 10 Ogos itu turut menilai pandangan pengundi terhadap hala tuju negara.

Menurut Merdeka Research Center, 51 peratus daripada responden merasakan Malaysia sedang menuju ke arah yang betul.

Angka tersebut adalah sedikit rendah berbanding Mei tahun ini bagaimanapun masih jauh lebih tinggi berbanding enam bulan lepas.

Pada Julai 2019 sehingga Februari 2020, hanya satu perempat daripada Malaysia merasakan Malaysia sedang menuju ke landasan yang betul.

Bagi responden yang menjawab negara sedang menuju ke arah yang betul, 26 peratus daripadanya menyatakan pentadbiran kerajaan yang bagus menyumbang kepada prestasi tersebut manakala 21 peratus lagi gembira dengan kepimpinan sekarang.

Dalam pada itu, kira-kira 34 peratus daripada responden merasakan negara berada di landasan yang salah dan hampir satu pertiga melahirkan rasa kecewa dengan ketidakstabilan politik dan 17 peratus lagi merungut mengenai masalah ekonomi seperti pengangguran dan kemerosotan iklim perniagaan.

Kaji selidik ini dijalankan di antara 15 Julai sehingga 10 lalu bagi mengumpul persepsi pengundi terhadap ekonomi, kepimpinan dan isu-isu semasa.

Seramai 3,415 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peritus India, enam peratus bumiputera Islam dan enam peratus bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak terlibat dalam kaji selidik ini.

Temubual dijalankan melalui panggilan telefon sama ada talian tetap mahu pun telefon bimbit.

Pemilihan responden adalah secara rawak berdasarkan pensampelan berstrata terhadap kumpulan umur, etnik, jantina dan dewan undangan negeri.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. 33 peratus saja bangsa Tionghua berpuashati ngan PM. Biasa la, kalau LGE jd PM bru depa 100% puashati. Bukan sbb Abah tak bagus tp sbb bukan org depa.

Comments are closed.