KUALA LUMPUR- Seramai 4,620 pendatang asing tanpa izin (PATI), 698 tekong dan 247 penyeludup telah ditahan sejak pelaksanaan Op Benteng pada 1 Mei sehingga semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditahan adalah 177 bot dan 475 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara.
“Semalam (1 September 2020), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 27,379 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi Benteng di bawah National Task Force (NTF) yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.
Dalam pada itu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga telah membuat 63,206 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sebanyak 4,773 pasukan pematuhan yang melibatkan 15,956 anggota telah membuat pemantauan di 3,981 pasar raya, 5,162 restoran serta 1,611 penjaja, 1,810 kilang, 3,681 bank dan 1,111 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,789 terminal pengangkutan darat, 208 terminal pengangkutan air serta 125 terminal pengangkutan udara.
PDRM juga telah menahan 39 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 27 individu telah dikompaun manakala tujuh individu pula direman dan lima dijamin.
Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (enam), tidak memakai pelitup muka (13), premis beroperasi lebih masa (lima), menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah (lima), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (10).- MalaysiaGazette