Home Ekonomi Bayaran caruman tapi tak dapat manfaat SIP – NUFAM

Bayaran caruman tapi tak dapat manfaat SIP – NUFAM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kira-kira 500 pekerja kontrak syarikat penerbangan tidak dapat menikmati manfaat Skim Insurans Pekerjaan meskipun telah membuat caruman ketika masih bekerja.

Menurut Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), para pekerja tersebut yang kebanyakannya berada dalam kumpulan B40 tidak mendapat apa-apa bantuan kerana syarat yang dikenakan Perkeso tidak melindungi pekerja kontrak.

“Dari sudut ini, NUFAM berpendapat kerajaan harus memperbaiki semula isu SIP ini secepat mungkin.

“Hari ini golongan pekerja ini telah mengadu nasib mereka dengan kesatuan dan memaklumkan bahawa mereka telah menerima surat daripada Perkeso walaupun pekerja telah mencarum kepada SIP.

“Syarikat penerbangan juga tidak memberi apa apa pampasan kepada mereka yang diberhentikan kontrak sedangkan ramai pekerja kontrak ini terikat dengan syarikat penerbangan selama dua tahun.

“NUFAM juga menyeru Perkeso meneliti semula isu skim insuran SIP buat pekerja kontrak agar mereka diberi perlindungan yang adil.

“Golongan pekerja ini juga membuat caruman seperti pekerja lain tetapi malangnya apabila pekerja ini hilang pekerjaan mereka, Perkeso menolak permohonan mereka.

“Seeloknya skim SIP juga memberi perlindungan kepada golongan ini.

“NUFAM mengesa agar skim ini diperluaskan buat golongan pekerja ini agar merkea tidak dianiayai oleh majikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga harus beri tumpuan kepada isu ini kerana kebanyakan mereka adalah golongan muda yang baru memulakan karier pekerjaan mereka. – MalaysiaGazette