KUALA LUMPUR – Bermula semalam, kesemua ketibaan dari luar negara ke pintu masuk Sarawak diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, syarat tersebut tidak terpakai kepada rakyat Malaysia dari Semenanjung dan Sabah yang memasuki negeri berkenaan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mereka hanya perlu mengisi borang deklarasi kesihatan secara atas talian sebelum memasuki negeri berkenaan.
“Kesemua yang baru pulang dari luar negara termasuk rakyat negeri Sarawak sendiri perlu dikuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan kerajaan negeri.
“Mereka diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari kedua dan hari ke-10.
“Kos kuarantin bagi rakyat Sarawak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri manakala bagi bukan rakyat Sarawak, mereka perlu membayar sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 21,217 individu telah pulang ke Malaysia melalui pintu masuk antarabangsa dan ditempatkan di 70 hotel dan empat institut latihan awam.
Daripada jumlah itu, 8,801 masih lagi menjalani proses kuarantin wajib dan 12,350 telah dibenarkan pulang.- MalaysiaGazete