PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan tarikh pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Fasa 2 bagi jajaran Sungai Buloh – Kajang (SBK) adalah pada 17 Julai depan dan seterusnya akan memulakan operasinya pada bulan yang sama.
Menurut Najib, jajaran SBK sepanjang 51 kilometer itu adalah bagi melengkapkan jajaran MRT Fasa 1 dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan yang telahpun bermula pada 16 Disember lalu.
“Untuk makluman saya telah pilih tarikh yang agak istimewa bagi pelancaran MRT Fasa 2 ini iaitu pada 17.07.2017.
“Melalui kedua-dua Fasa MRT itu, kerajaan menjangkakan, perkhidmatan ini akan dapat memberi manfaat kepada lebih 500,000 penumpang yang menggunakannya pada setiap hari,” kata Najib.
Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada majlis Pelancaran Rancangan Dasar Fizikal Negara Ketiga (RFN KE-3), Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) di Putrajaya pagi tadi.
Menurutnya, sistem pengangkutan awam sememangnya menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya bagi kawasan bandar mahupun luar bandar.
“Jika sebelum ini, perancangan pengangkutan awam hanya digariskan dalam bentuk polisi sahaja seperti yang terkandung dalam Rancangan Pemajuan Nasional.
“Tetapi sebaik sahaja saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada tahun 2009 saya terus memfokus dan menjadikan pembangunan infra rakyat seperti pengangkutan awam ini sebagai antara agenda utama negara,” katanya.
Tambahnya, bagi meningkatkan jaringan sistem pengangkutan awam lebih bersepadu, pelaksanaan projek LRT Extention telahpun dilaksanakan.
Ini termasuk projek High Speed Rail (HSR) yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam tempoh 90 minit sahaja.
Rakyat di Pantai Timur pula akan menikmati jaringan terbaharu seperti pembinaan East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Kelantan ke Pelabuhan Klang yang akan memberi limpahan ekonomi di sepanjang laluannya.
Bagi rakyat Sabah dan Sarawak pula, Najib berkata, kerajaan yang bertanggungjawab akan mengotakan janji melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dari Teluk Melano ke Lawas di Sarawak dan membawa ke Sabah dari Sindumin ke Tawau, sepanjang 2,325 kilometer. – MalaysiaGazette