KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi tadi susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.
Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
“Sehingga jam 11.30 pagi, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Elina, Air Selangor juga menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300 atau whatsapp di nombor 019-2816793 dan 019-2800919.
Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.
— BERNAMA