KUALA LUMPUR- Sebanyak 14 kes positif baharu Covid-19 direkodkan setakat jam 12 tengahari tadi melibatkan 10 kes tempatan dan empat import manakala empat pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar.
Ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 163.
Sehingga kini, empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kematian dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam 10 kes penularan dalam negara, sebanyak enam kes melibatkan warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.
Manakala empat kes import melibatkan dua warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang baru tiba dari Singapura (tiga kes) dan Filipina (satu kes).
Daripada 10 kes penularan di dalam negara pula, enam kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan empat kes adalah bukan warganegara.
Daripada jumlah tersebut, empat kes melibatkan warganegara telah dikesan di Kedah iaitu tiga daripada Kluster Tawar yang mana dua daripadanya dikesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.
Terdapat satu lagi kes baharu di Kedah melibatkan Kluster Telaga.
Dua lagi kes baharu melibatkan warganegara Malaysia adalah melibatkan Kluster Benteng LD di Sabah manakala kesemua empat kes melibatkan bukan warganegara pada hari ini adalah membabitkan Kluster Benteng LD.
“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin memaklumkan bahawa terdapat pertambahan tujuh kes dalam Kluster Benteng LD.
“Enam daripada tujuh kes ini adalah kes baharu. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini 14 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Noor Hisham, hasil siasatan lanjut mendapati satu kes positif Covid-19 yang melibatkan seorang banduan di Penjara Tawau, Sabah (iaitu kes ke-9,351 yang dilaporkan pada 1 September 2020) berkait rapat dengan Kluster Benteng LD.
Suspek mempunyai sejarah dimasukkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes, di mana beliau didapati mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-9344 dan kes ke-9345).
“Enam kes baharu yang dilaporkan hari ini telah dikesan di Penjara Tawau. Empat daripada kes tersebut turut mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu serta mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.
“Mereka telah balik ke Penjara Tawau pada 28 Ogos 2020 dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di Penjara Tawau.
“Kesemua kes positif baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau,” katanya lagi.- MalaysiaGazette