SEOUL (Reuters) – Korea Selatan berhempas-pulas untuk mengawal gelombang kedua Covid-19 yang melanda negara tersebut dan berjanji akan menggandakan katil hospital bagi jagaan kritikal walaupun berhadapan dengan kekurangan bekalan yang teruk.
Situasi tersebut menunjukkan negara yang maju dan mempunyai sistem penjagaan kesihatan lengkap juga terpaksa berhadapan kesukaran dalam melawan pandemik Covid-19.
Lonjakan kes serius terutama melibatkan orang tua menjadikan ketidakseimbangan kumpulan pesakit menghampiri paras bahaya selepas negara tersebut berjaya mengawal pandemik sebelum ini.
Kurang daripada 10 katil rawatan rapi tersedia di kawasan Greater Seoul, sebuah metropolis dengan 26 juta penduduk, kata pihak berkuasa kesihatan.
Kementerian Kesihatan berkata, ia akan membelanjakan 100 bilion won ($84 juta) untuk membeli 500 katil bagi kegunaan pesakit kritikal di seluruh negara menjelang pertengahan tahun depan.
Ia menyasarkan mampu memiliki sekurang-kurangnya 110 katil menjelang hujung tahun ini.
“Kami juga berusaha sepenuh tenaga untuk memberikan rawatan yang stabil kepada pesakit,” kata Ketua Pengarah Bagi Dasar Kesihatan Umum, Yoo Tea-ho dalam satu taklimat media.
Korea Selatan memiliki 511 katil rawatan rapi yang mana kebanyakannya berada di hospital kerajaan di Seoul serta wilayah-wilayah berhampirannya.
Bagaimanapun, ianya digunakan oleh kes-kes atau pesakit yang kurang serius.
Setakat Khamis, 154 pesakit Covid-19 berada dalam keadaan kritikal, meningkat berbanding 123 orang sehari sebelumnya.
Negara tersebut mencatatkan 12 kes sahaja sebelum gelombang kedua muncul, dua minggu lalu susulan penularan wabak dalam kalangan ahli gereja yang menyertai satu perhimpunan politik.- MalaysiaGazette