Home Dunia Akaun Twitter laman web peribadi Modi digodam

Akaun Twitter laman web peribadi Modi digodam

Narendra Modi

NEW DELHI – Twitter mengesahkan akaun yang dihubungkan dengan laman web peribadi dan aplikasi mudah alih Perdana Menteri India Narendra Modi telah digodam, syarikat rangkaian sosial itu berjanji untuk menyiasat perkara itu, lapor agensi berita Sputnik.

Penggodam meminta 2.5 juta pengikut akaun @narendramodi_in menyumbang mata wang kripto kepada Tabung Bantuan Negara, yang diwujudkan oleh perdana menteri.

“Kami maklum mengenai perkara itu dan sudah mengambil langkah untuk mengatasi masalah berkenaan. Siasatan sedang dijalankan. Buat masa ini, kami tidak pasti sama ada terdapat akaun lain yang turut digodam,” kata seorang jurucakap Twitter dalam satu kenyataan.

Setakat ini, masalah pada akaun itu sudah dapat diatasi.

Bagaimanapun, masalah itu tidak menjejaskan akaun Twitter Modi, yang mempunyai lebih 61 juta pengikut.- BERNAMA