SEOUL – Korea Selatan mula memasang proototaip pesawat pejuang pertama yang dibangunkannya, kata agensi pemerolehan ketenteraan.
Di bawah projek KF-X bernilai Won8.8 trilion (AS$7.3 bilion), Korea Selatan telah mengusahakan projek itu sejak 2015 bagi membangunkan pesawat pejuang terkini untuk menggantikan angkatan jetĀ pejuang, F-4 dan F-5 yang telah usang, lapor agensi berita, Yonhap.
Berikutan pengesahan rekaannya pada tahun lalu, Korea Aerospace Industries Co. (KAI) memulakan pemasangan terakhir prototaip pesawat pejuang di kemudahannya di Sacheon, kira-kira 440 kilometer selatan Seoul, menurut Pentadbiran Program Pemilikan Pertahanan (DAPA).
KAI merupakan pembuat pesawat tunggal negara itu dan bertanggungjawab terhadap projek KF-X.
Prototaip pesawat itu dijangka siap pada separuh pertama 2021 dan agensi tersebut menyasarkan pembangunan sepenuhnya pada 2026 selepas ujian di darat dan ujian penerbangan dilakukan, menurut DAPA.
Pada bulan lalu, Agensi untuk Pembangunan Penerbangan (ADD) mengeluarkan satu prototaip sistem radar Rangkaian Imbasan Elektronik Aktif Terkini (AESA) yang merupakan sebahagian daripada pesawat pejuang itu.
“Walaupun pandemik Covid-19 menular, projek KF-X berjalan seperti dirancang dan prototaipnya dijangka siap pada tahun depan,” kata Pegawai DAFA, Jung Kwang-sun.
Pesawat tersebut berupaya terbang pada kelajuan maksimum Mach 1.81 dengan jarak menjangkau 2,900 kilometer.
Keupayannya itu dilihat sama seperti jenerasi kelima pesawat pejuang, F-35A, menurut KAI.
Pesawat tersebut berupaya membawa muatan maksimum seberat 7,700 kilogram,boleh dilengkapi dengan 10 peluru berpandu dan bekas simpanan bahan bakar.
Ia mampu membawa beberapa jenis peluru berpandu udara-ke-udara, seperti IRIS-T buatan Jerman dan peluru berpandu Meteor yang dipandu radar aktif buatan Eropah, tambahnya. – MalaysiaGazette