KUALA LUMPUR – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang tidak melakukan sebarang transaksi di TH melebihi tujuh tahun berturut-turut mulai 2013 disarankan untuk berbuat demikian.
TH dalam kenyataannya hari ini berkata, langkah itu untuk mengelak akaun mereka dikategorikan sebagai tidak aktif atau berstatus dorman.
“Mana-mana pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun akan dikategorikan sebagai akaun dorman,” demikian menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun katanya, simpanan yang terdapat dalam akaun dorman ini masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH apabila akaun tersebut diaktifkan semula dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang.
“Transaksi boleh dilakukan di 10,000 touch points TH sama ada melalui kaunter, dalam talian dan mesin ATM/CDM rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Maybank, Bank Rakyat dan CIMB,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pendeposit TH perlu sentiasa berstatus aktif agar mereka dapat menerima manfaat menyimpan di TH seperti simpanan dijamin kerajaan, mendapat agihan keuntungan, zakat dibayar, patuh syariah, dikecualikan cukai dan turut serta dalam kempen simpan, daftar dan menang.
Sehubungan itu, untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-6207 1919. – MalaysiaGazette