Home Utama Osman Sapian digugurkan ahli Bersatu

Osman Sapian digugurkan ahli Bersatu

Datuk Osman Sapian

KUALA LUMPUR – Keahlian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian digugurkan secara automatik.

Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, ia berikutan tindakan Osman yang didakwa membantu kempen calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.

“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.

“Tak perlu didakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha Agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,” katanya.

Megat Najmuddin bagaimanapun berkata, pengguguran keahlian itu tidak perlu dibawa ke pengetahuan lembaga disiplin parti atas tindakannya.

Ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak baru-baru ini, Osman dilihat berkempen bagi memenangkan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Keberadaan Osman itu dilihat dalam video yang tular, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya di PRk itu sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik. – MalaysiaGazette