Home Politik Parti Anak Muda, Pejuang satu retorik – Shahir

Parti Anak Muda, Pejuang satu retorik – Shahir

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menganggap tiada keperluan untuk membentuk dua lagi parti baharu (Parti Pejuang) yang merupakan serpihan Bersatu dan Parti Anak Muda yang dicanang mantan Ketua Penaja Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, kewujudan Parti Pejuang dilihat memecah-belahkan lagi politik orang Melayu dan pada masa sama, langkah mewujudkan Parti Anak Muda pula memecah-belahkan rakyat antara golongan muda dan golongan berusia.

Beliau berkata, politik “pecah-belah” ini bakal merugikan suara anak muda di Malaysia jika mereka terkeliru dengan janji manis yang dibawa pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang.

“Namun begitu, anak muda tidak perlu khuatir dan risau kerana sayap-sayap pemuda parti kerajaan hari ini mempunyai kerjasama yang utuh dan kukuh dalam membawa suara anak muda di dalam kerajaan.

“Gabungan kerjasama antara sayap-sayap pemuda dan puteri antara Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera melalui Muafakat Nasional menjadi satu tawaran terbaik untuk merealisasikan harapan anak muda.

“Anak muda harus ingat kembali akan janji-janji manis Buku Harapan yang dimungkiri oleh Pemuda Pakatan Harapan yang juga merupakan individu sama yang mahu menubuhkan Parti Anak Muda.

“Selama 22 bulan memerintah negara, janji satu juta peluang pekerjaan hanyalah retorik politik. Selama 22 bulan memerintah negara, janji peruntukan RM1 billion kepada usahawan muda hanyalah retorik politik. Selama 22 bulan memerintah negara, janji siaran percuma EPL pun hanyalah retorik politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, DPIM berpendapat bahawa sinergi antara pemimpin muda dan senior adalah penting kerana pemimpin muda mempunyai idea baru dan pemimpin senior mempunyai pengalaman yang berharga untuk dikongsikan.

Ujarnya, tanpa pengalaman, rakyat boleh melihat kegagalan menteri muda Pakatan Harapan apabila gagal menulis kenyataan media yang baik, gagal menyatukan belia-belia di negara kita, dan lebih berdrama daripada bekerja untuk rakyat.

Tambah beliau, realitinya, Parti Anak Muda perlu jujur dalam menyatakan dana yang diperolehi untuk menggerakkan parti itu dan jangan pula dana tersebut diberikan oleh tauke-tauke tua yang akhirnya menjadi penentu dasar Parti Anak Muda.

“Parti Anak Muda juga perlu melihat kepada realiti bahawa tidak mungkin mereka akan bertanding di 222 kawasan parlimen dan menang 112 kerusi untuk membentuk majoriti mudah membentuk kerajaan.

“Akhirnya, undi anak muda akan menjadi sia-sia. Oleh itu, sayap-sayap pemuda adalah pilihan terbaik anak muda. Diharapkan kepimpinan parti politik akan memberikan lebih banyak ruang kepada pemimpin muda untuk PRU-15,” ujarnya. – MalaysiaGazette