Home Nasional Pas Selangor desak SPRM siasat kes pencemar di Sungai Gong

Pas Selangor desak SPRM siasat kes pencemar di Sungai Gong

RAWANG – Satu perhimpunan aman dianjurkan Pas Selangor hari ini di hadapan sebuah kilang di Sungai Gong dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air yang turut memberi kesan kepada 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk membuka kertas siasatan mengenai kes ini.

Ia dikhuatiri berlaku salah guna kuasa di peringkat penguatkuasaan kerana premis ini pernah dikompaun.

“Saya memohon pihak SPRM membuka kertas siasatan dan PDRM kerana telah menangkap dan mereman mereka yang terlibat dan kita yakin siasatan secara terus akan dijalankan.

“Kita tidak sanggup melihat setiap kali ada misi krisis air ini kita melihat keperitan rakyat dari flat khususnya yang tidak ada lif. Kita bantu dengan menyediakan bantuan air bersih tetapi nak mengangkat air ini satu keperitan yang rakyat tanggung,” katanya ketika ditemui di Jalan Batu Arang, Rawang, hari ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli bercakap semasa hadir pada Demonstrasi aman roboh kilang pencemar sungai sumber Air Selangor di Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

Semalam, polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin yang mana semua suspek berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Khamis lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, sebuah kilang di Sungai Gong dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air yang turut memberi kesan kepada 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut LUAS, pihaknya sudah melakukan siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan beberapa agensi lain berikutan penutupan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) pagi ini kerana pencemaran.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Syarhan Humaizi Halim bercakap pada demonstrasi aman roboh kilang pencemar sungai sumber Air Selangor di Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Syarhan Humaizi Halim memohon agar premis terbabit dirobohkan.

Ini kerana katanya, premis itu pernah dikompaun sebelum ini atas dakwaan sama.

“Pas bawa resolusi bahawa premis haram ini kita minta tutup dan dirobohkan terus. Kita dimaklumkan bahawa beberapa premis yang ada kes menyalurkan bahan tidak sepatutnya ke sungai ini masih lagi beroperasi.

“Kita minta penguasaan terhadap premis haram ini bukan sahaja ditutup bahkan dirobohkan. Kita minta pula premis yang berlesen ini dialihkan supaya jauh daripada pesisir sungai agar tidak berlaku pencemaran,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan empat LRA di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lalu, sudah disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas susulan insiden pencemaran bau berkenaan. – MalaysiaGazette