PENDUDUK Lembah Klang sekali lagi terpaksa berhadapan dengan masalah gangguan
bekalan air yang dijangka berlarutan beberapa hari. Dilaporkan hampir lima juta
penduduk terjejas akibat terputusnya bekalan air bersih yang disebabkan oleh
pencemaran sungai yang menjadi bekalan bagi empat loji rawatan air di Selangor.
Pencemaran dilaporkan berpunca daripada sebuah bengkel menyelenggara jentera
berat yang terletak berhampiran Sungai Gong, Rawang.
Ironinya naratif bekalan air terpaksa dihentikan akibat pencemaran sungai oleh pihak
yang tidak bertanggungjawab seperti ini sudah disajikan kepada penduduk sejak
dulu lagi. Bukan sekali dua rakyat terpaksa menerima azab ini angkara pihak yang
langsung tidak berhati perut yang hanya mengutamakan keuntungan perniagaan
semata-mata. Akhirnya kehidupan harian rakyat terjejas teruk.
Hakikatnya, sudah banyak kali insiden seperti ini berlaku, bukan saja di Lembah
Klang tetapi di seluruh negara. Misalnya sebelum ini negara digemparkan dengan
insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang. Jadi jelas perkara ini terus
berlaku dan belum nampak jalan penyelesaiannya. Persoalannya, sampai bila rakyat
perlu berhadapan dengan masalah air seperti ini?
Umpama sudah terang lagi bersuluh, semua pihak tahu insiden pencemaran air
seperti ini dilakukan oleh siapa, berlaku di kawasan mana serta apa implikasinya
kepada kehidupan rakyat. Namun anehnya kita masih membiarkan insiden ini terus
berlaku. Sedar atau tidak pihak berkuasa hanya “bising” dan “kecoh” apabila berlaku
pencemaran dan bekalan air terpaksa dihentikan. Maksudnya kita hanya bertindak
bila ianya berlaku, sepatutnya kita bertindak dengan lebih proaktif dan agresif
dengan mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum sesuatu insiden itu
berlaku. Paling mudah, pantaulah lokasi dan status semua sungai yang menjadi
punca bekalan air secara berkala dan berterusan. Pemantauan perlu merangkumi
aktiviti yang berlaku di sekitar sungai tersebut. Sepatutnya kita tidak boleh
membenarkan sebarang industri beroperasi berhampiran sungai seperti ini yang
sememangnya mengundang pelbagai ancaman dan risiko. Maka dalam konteks ini
semua pihak yang terlibat perlu memainkan peranan. Misalnya, pihak yang
mempunyai kuasa untuk meluluskan operasi industri perlu memastikan tidak
memberi sebarang kelulusan. Manakala pihak yang wajib memantau aspek
pencemaran sungai perlu rajin turun padang menilai kualiti air secara kerap dan
berjadual. Justeru sudah tiba masanya pihak berkuasa mengaudit semua sungai
yang menjadi punca bekalan air di seluruh dengan segera supaya kita dapat
mengambil langkah pencegahan dari sekarang sebelum lebih banyak lagi pencemaran
berlaku di seluruh negara.
Aspek penguatkuasaan undang-undang juga dilihat tidak begitu memberangsangkan.
Hukuman kepada pencemar air seperti ini dilihat masih ringan dan tidak setimpal.
Hukuman mandatori penjara dan denda yang lebih berat wajar dilaksanakan dengan
segera. Pindalah undang-undang yang ada dengan cepat sebelum lebih banyak lagi
musibah berlaku. Baik individu atau premis yang menyebabkan berlakunya
pencemaran seperti ini sehingga loji rawatan terpaksa ditutup dan bekalan air
kepada rakyat terjejas wajar diheret ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman
yang berat sebagai pengajaran kepada mereka serta peringatan dan amaran kepada
yang lain.
Sedarlah air adalah antara keperluan asas rakyat, oleh itu jangan biarkan pihak tidak
bertanggungjawab terus menjejaskan kehidupan rakyat seperti ini. Sebagai rakyat
yang menanggung derita ini, kita juga tidak mahu isu ini dipolitikkan atau dikupas
dalam konteks karenah birokrasi pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan
sewajarnya selama ini. Tidak perlulah ada politikus yang cuba mengambil
kesempatan dan meraih populariti dengan cuba menjadi hero dan pembela rakyat.
Tuntasnya, ini soal kebajikan rakyat dan percayalah rakyat sudah muak dengan
masalah bekalan air yang terputus secara kerap seperti ini, dan rakyat juga sudah
bosan mendengar pelbagai alasan yang dikemukakan sekian lama. Apa yang rakyat
mahu ialah bekalan air sentiasa ada untuk meneruskan kehidupan seharian seperti
biasa dan untuk itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang
bertanggungjawab, yang berkuasa dan yang diberikan amanah untuk buat kerja
masing-masing dengan penuh dedikasi, efisien dan nilai integriti yang tinggi.
Janganlah biarkan rakyat terus menderita dengan masalah air seperti ini.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa
rakyat yg tanggung masalah,
rakyat yg menanggung derita,
rakyat yg hidup susah,
pihak2 yg berkenaan terus mengaut untung,
pihak2 berkuasa hanya tutup mata,
rakyat menderita xpe,
yg penting pihak2 yg berkenaan terus dapat untung,
ahli2 politik haramjadah semua teruskan berpolitik,
gunakan rakyat hanya untuk sokongan,