PARIS – Facebook telah menyekat kempen seorang lelaki Perancis yang berkempen mahu menyiarkan kematiannya secara langsung.
Alain Cocq, menderita selama 34 tahun akibat penyakit degeneratif yang jarang ditemui dan sukar disembuhkan.
Susulan tindakan Facebook itu, Cocq berhasrat untuk mencari cara lain bagi menyiarkan kematiannya.
Cocq telah berhenti mengambil makanan, minuman atau ubat-ubatan dan mengatakan mahu kematiannya dilihat oleh orang ramai agar dapat meyakinkan pihak berkuasa Perancis untuk menarik semula larangan membunuh diri secara perubatan.
”Walaupun kami menghormati keputusan Alain untuk menarik perhatian berhubung permasalahannya, kami menghalang siaran langsung di akaunnya berdasarkan nasihat pakar bahawa penggambaran percubaan bunuh diri hanya akan mempromosikan lebih banyak bahaya,” kata Facebook dalam satu kenyataan diberikan kepada Reuters.
Cocq, 57, sebelum ini memaklumkan akan menyiarkan kematiannya di Facebook mulai Sabtu pagi (5 September).
Setelah Facebook menyekatnya, Cocq memaklumkan kaedah streaming secara langsung akan dibuat dalam masa 24 jam.
“Jadi saya telah menghabiskan makanan terakhir saya … saya minum untuk kali terakhir. Jalan untuk selamat bermula dan percayalah, saya gembira, ”kata Cocq, dalam sebuah video yang disiarkan pada Jumaat malam.
“Saya telah membuat keputusan dan saya tenang,” tambahnya.
Cocq pernah menulis surat kepada Presiden Emmanuel Macron, meminta supaya profesional perubatan memberi suntikan yang boleh mematikannya.
Perancis, Switzerland, Belgium dan Belanda telah melaksanakan undang-undang yang membenarkan kematian dengan bantuan perubatan dalam beberapa kes.
Tetapi Perancis menolak langkah itu selepas mendapat tekanan daripada Gereja Katolik.
“Kerana saya tidak melampaui undang-undang, saya tidak dapat memenuhi permintaan anda,” kata Macron, dalam surat kepada Cocq, yang dikongsikan oleh Cocq di laman Facebooknya.
“Kemahuan anda untuk meminta bantuan dalam kematian, yang mana tidak dibenarkan di negara kita,” kata Macron lagi. – MalaysiaGazette