KUALA LUMPUR – “Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Hati saya sedih, sayunya melihat Raudhah.
“Dulu dia seorang anak yang periang, suka bersolek, kuat berceloteh dan mesra dengan sesiapa sahaja, riuh-rendah rumah kami. Kini dia diam, terbaring lesu,” kata Noor Azmiah Abdul Ghani.
Semuanya bermula apabila Raudhah Ammara Risal, 5, dikesan demam pada bulan Jun tahun lalu.
Walaupun baru sehari demam, tetapi keadaan Raudhah nampak teruk, dia lesu seolah-olah sangat letih.
Naluri keibuannya kuat mengatakan ada sesuatu berlaku pada anak sulungnya, mendorong Noor bergegas membawa Raudhah, anak sulung daripada tiga beradik itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Selepas menjalani pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), doktor mendapati ada tumor di pangkal otak anaknya.
Doktor kemudian mengesahkan ketumbuhan itu adalah kanser.
“Tergamam saya ketika doktor beritahu tumor itu tidak boleh dirawat.
“Luluh hati saya apabila doktor menerangkan Raudhah hanya boleh bertahan setahun,” katanya dengan linangan air mata.
Noor Azmiah ditemui semasa Jamuan Hi-Tea bersama Anak-Anak Kanser anjuran Arka Melium Resources bersama MalaysiaGazette.
Noor berkata, berita sedih itu diterima ketika dia sedang hamil lima bulan.
“Saya memang tak kuat masa tu, hanya Allah yang tahu,” katanya dengan suara yang bergetar.
Tambahnya: “Sebelum demam, Raudhah pernah sesekali mengadu sakit kepala tetapi kami ingat sebab dia suka tengok handphone’‘.
Walaupun Noor dan suaminya, Risal Isun redha dengan ketentuan Allah, namun tekadnya akan terus berusaha selagi daya mengubati Raudhah.
“Biarpun doktor telah memberi penerangan yang jelas, sebagai ibu saya hanya mahu Raudhah dapat yang terbaik, kami cuba,” ujarnya dengan esakan.
Sejak September 2019 hingga Jun 2020, Raudhah sudah menjalani 33 kali radioterapi.
Ujarnya, hanya rawatan itu yang dicadangkan oleh pakar dalam usaha mengecilkan tumor yang kesan sebesar 3 sentimeter pada awalnya.
Menurut Noor, rawatan itu berjaya mengecilkan tumor kepada 1 sentimeter dan Raudhah kembali sihat.
Tapi riang tawa Raudhah yang didengari di rumah tidak lama.
Kesihatan Raudhah ‘diragut’ lagi semasa Hari Raya lalu apabila anak kecil itu tiba-tiba hilang daya.
Dia kembali lesu sehingga berjalan pun senget, matanya kelihatan juling dan percakapannya semakin kurang jelas.
“Saya terperanjat sebab satu pagi melihat dia merangkak ketika turun dari katil. Bila ditanya kenapa merangkak, Raudhah kata dia tak larat nak berdiri,” tambah Noor.
Bukan sahaja tidak mampu lagi berdiri, malah, bahagian kanan Raudhah semakin hilang fungsi.
Doktor yang membuat pemeriksaan mengesahkan kansernya membesar semula kepada 5 sentimeter.
Kanser yang membesar menyebabkan kandungan air yang banyak pada otaknya telah menjejaskan fungsi tubuh kecil itu.
Setakat ini, doktor mencadangkan untuk melakukan radioterapi semula.
Menurut Noor, untuk memastikan Raudhah terus dijaga dengan baik, suaminya, Risal Isun mengambil keputusan berhenti kerja untuk memastikan rawatan anaknya tidak terjejas.
“Raudhah sangat rapat dengan ayahnya. Kami mahu dia selesa,” kata Noor, ibu muda itu yang mempunyai dua lagi anak perempuan, masing-masing berusia tiga dan setahun.
Dalam keadaan sekarang, kata Risal, Raudhah lebih banyak memberontak apabila kami tidak memahami pertuturannya.
”Walaupun keadaan begitu, dia sangat sayang pada dua adiknya, sentiasa mahu adik-adiknya berada di sisi. Kalau tidak, dia merajuk,” kata ayahnya sambil memberitahu dulu Raudhah suka merakam aksi di TikTok.
“Tapi sekarang semua aksi-aksi itu akan dipadamnya,” katanya sayu.
Raudhah kini menunggu masa untuk menjalani radioterapi.
“Tolong doakan Raudhah untuk kami,” kata Risal sambil memandang pada Raudhah yang terbaring lesu di kerusi roda. – MalaysiaGazette