KUALA LUMPUR – Para ibu bapa, khususnya kaum India, diminta mendaftarkan kelahiran anak mereka bagi mengelak berdepan dengan masalah kewarganegaraan pada masa depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, proses itu diwajibkan walaupun pasangan terbabit belum mendaftarkan perkahwinan akibat masalah tertentu semasa anak mereka dilahirkan.
Katanya, pendaftaran anak akan memudahkan proses permohonan MyKad pada masa depan.
“Jika anak itu berdepan masalah memohon MyKad, maklumat premier yang diberikan ibu bapa biologi pada awal kelahiran anak itu boleh menyokong sebagai bukti memudahkan permohonan itu.
“Ini kerana, hasil semakan kami mendapati kebanyakan kes kelahiran dalam kalangan masyarakat India tidak memiliki maklumat ibu atau bapa biologi sehingga mencetuskan pelbagai masalah kepada masa depan bayi itu.
“Ia termasuklah menyukarkan bayi itu (mendapat kewarganegaraan dan MyKad, sekaligus menyekat hak pendidikan dan kebajikan lain di negara ini yang sepatutnya,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri cawangan Hartamas di sini hari ini.
Terdahulu, Subramaniam menyaksikan program Mega MyDaftar 2017 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Beliau diiringi Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata, punca majoriti masyarakat India gagal mendapatkan kerakyatan walaupun sudah lama menetap di negara ini disebabkan tidak mendaftarkan perkahwinan dan kelahiran anak mereka.
“Sekitar tahun 80-an, perkahwinan sekadar mengikut adat resam masing-masing dibenarkan untuk mendapat kewarganegaraan atau kad pengenalan anak.
“Sekarang perkahwinan mengikut adat resam wajib disertai pendaftar perkahwinan yang bertauliah di negara ini dan perkara ini adalah peraturan mandatori yang ditetapkan jabatan pendaftaran yang perlu dipatuhi.
“Maka saya menasihatkan supaya jangan memandang remeh, sebaliknya pandang serius perkara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette