KEPALA BATAS – Seorang pesara kerajaan membuat laporan polis mendakwa kerugian RM40,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an terbabit mendakwa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram namun lelaki itu menafikan, menyebabkan panggilan disambungkan ke ‘Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu’ dan bercakap dengan seorang lelaki yang mengaku bernama ‘Sarjan Fauzi’, katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang ketakutan kemudian bertindak mengikut semua arahan ‘Sarjan Fauzi’ termasuk memindahkan wang berjumlah RM40,000 ke dalam dua akaun yang diberikan oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan.
Noorzainy berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas dia gagal menghubungi ‘Sarjan Fauzi’ dan membuat laporan polis semalam.
Kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette