KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang cuba menolak penguatkuasaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 mulai 1 Septermber lalu.
Menurut Setiausaha Agungnya, J Solomon segala alasan yang diberikan oleh wakil MEF hanyalah mencerminkan niat mereka untuk meneruskan budaya diskriminasi dan penganiayaan terhadap pekerja oleh majikan di negara ini.
“Selain mengupah pekerja migran dengan upah murah dan memaksa mereka duduk di penginapan yang serba kekurangan, majikan juga membentuk persekitaran yang membolehkan mereka memberi gaji rendah kepada pekerja tempatan.
“Semua ini bertujuan membolehkan majikan mengaut keuntungan lumayan dengan memastikan kos mereka di paras terendah dengan sistem penganaiyaan sedemikian.
“MEF mahukan budaya dan sistem sebegini berterusan, justeru mahukan kerajaan untuk tidak menguatkuasakan Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, alasan majikan bahawa mereka tidak diberikan penerangan terperinci berkenaan undang-undang tersebut juga tidak boleh diterima akal.
Ini kerana penetapan tarikh pelaksanaan pada 1 September 2020 itu telah dibuat sejak setahun lalu malah kerajaan pada Mei telah memberikan majikan tambahan tiga bulan untuk mematuhi pindaan akta tersebut.
Bagaimanapun, para majikan sengaja mengambil sikap acuh tidak acuh.
“Malaysia menanggung risiko membayar harga yang lebih tinggi jika isu kediaman dan kemudahan pekerja terus diremehkan dan undang-undang untuk membela mereka dipinggirkan.
“Kos ekonomi yang terpaksa ditanggung negara adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan dakwaan kerugian yang dilontarkan oleh MEF jika undang-undang berkenaan dikuatkuasakan.
“Kisah-kisah ngeri mengenai kemudahan kediaman pekerja migran di Malaysia sudah lama menarik perhatian media antarabangsa. Pada masa sama kemudahan dan kediaman pekerja yang buruk diangkat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai antara 11 petunjuk wujudnya gejala buruh paksaan di sesebuah negara.
“Justeru, adalah jelas bahawa kerajaan Malaysia harus mempamerkan iltizam politik tegas untuk menguatkuasakan Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, bukan sahaja demi kebajikan pekerja tetapi juga kerana kepentingan hubungan ekonomi Malaysia dengan negara-negara yang memerangi amalan buruh paksaan,” tegasnya.- MalaysiaGazette