Home Ekonomi Pelabur asing jual RM589.38 juta ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing jual RM589.38 juta ekuiti tempatan minggu lalu

KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sejumlah RM589.38 juta pada minggu lalu, kadar tertinggi berbanding minggu terakhir Ogos sebanyak RM485 juta.

Secara kumulatif, bulan Ogos menyaksikan aliran keluar pelabur asing sebanyak RM1.49 bilion.

MIDF Research berkata, pelabur runcit membeli ekuiti sebanyak RM660.08 juta minggu lalu manakala institusi tempatan RM71.52 juta pada tempoh sama.

Ketika pasaran dibuka pada hari Selasa, pelabur-pelabur asing menjual RM379.90 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi masing-masing membeli RM199.95 juta dan RM179.95 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, momentum jualan asing berlangsung sehingga akhir minggu lalu.

Menurutnya, aliran keluar bersih terbesar minggu lalu adalah pada hari Selasa dengan jumlah RM379.90 juta.

Aliran keluar paling kecil pada hari Rabu dengan jumlah RM25.97 juta.

“Setakat tahun ini, jualan bersih pelabur asing mencecah RM20.94. Manakala pelabur tempatan dan institusi pula menjadi pembeli bersih, masing-masing sebanyak RM9.77 bilion dan RM10.21 bilion,” kata MIDF Research.

Sebagai perbandingan dengan tiga pasaran lain di Asia Tenggara yang dijejaki minggu lalu, Filipina merekodkan aliran keluar paling perlahan manakala Thailand paling besar.

Dalam penyertaan pula, pelabur runcit merekodkan penurunan mingguan 22.67% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV) manakala ADTV pelabur asing pula susut 27.97%. – MalaysiaGazette