Home Dunia Korea Selatan siap sedia berdepan taufan Haishen

Korea Selatan siap sedia berdepan taufan Haishen

Gelombang besar di berhampiran Pelabuhan Mukho di bandar Donnghae, wilayah Gangwon-do, Korea Selatan 7 September 2020. foto EPA

SEOUL – Korea Selatan bersiap sedia menghadapi taufan Haishen dengan ribut kuat melanda di kepulauan selatan Jepun.

Ribut itu membawa angin hingga 144 kilometer (90 batu) sejam, menuju ke utara bandar Busan, ibu kota kedua terbesar di Korea Selatan, kata agensi cuaca Korea Selatan.

Angin kencang telah menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik membabitkan hampir 5,000 isi rumah di hujung selatan Semenanjung Korea, termasuk pulau peranginan Jeju, yang telah melaporkan lebih dari 473 mm (19 inci) hujan sejak Sabtu.

Hampir 1,000 orang telah dipindahkan ke penempatan sementara manakala lebih daripada 300 penerbangan di 10 lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, telah dibatalkan.

Kemasukan ke taman negara dan beberapa perkhidmatan kereta api nasional juga telah ditangguhkan, tambah Kementerian Keselamatan Korea Selatan.

Di Jepun, sekitar 440,000 rumah di wilayah Kyushu barat daya kekal tanpa bekalan elektrik pada pagi Isnin pagi setelah ribut melanda kawasan itu, menurut NHK.

Ia menambah, sebanyak 32 orang cedera, termasuk seorang wanita yang jatuh dari tangga dalam kegelapan dan empat orang mengalami luka setelah tingkap kaca pusat pemindahan pecah.

Hampir 2 juta orang dipindahkan di wilayah itu. Kyushu masih dalam proses pemulihan selepas dilanda hujan lebat dan banjir pada bulan Julai lalu hingga mengorbankan 83 orang.

Taufan Haishen muncul hanya beberapa hari selepas taufan Maysak yang menjejaskan semenanjung Korea dan mengorbankan dua mangsa.

Manakala ribuan penduduk masih belum mendapat bekalan elektrik.

Taufan Haishen juga dijangka menghampiri bandar pelabuhan Korea Utara di Chongjin pada lewat Isnin.

Sektor pertanian Korea Utara dijangka terancam ekoran cuaca buruk, menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan makanan yang meruncing di negara tersebut.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada hari Sabtu lalu telah menjelajah kawasan pesisir yang dilanda taufan Maysak dan memerintahkan usaha pemulihan segera. – MalaysiaGazette