Home Dunia 300 pelarian Rohingya mendarat di Aceh

300 pelarian Rohingya mendarat di Aceh

Sekumpulan etnik Rohingya yang tiba di perairan Aceh. foto Agensi

LHOKSEUMAWE, Indonesia – Hampir 300 pelarian Rohingya yang didakwa sudah berada di perairan sejak enam bulan lalu mendarat di Aceh awal pagi ini.

Polis tempatan berkata, bot kayu yang membawa Rohingya itu dikesan oleh nelayan-nelayan tempatan, beberapa kilometer di luar pantai Lhokseumawe, sebelum mendarat di Pantai Ujung Blang selepas tengah malam.

“Terdapat 297 orang menurut data terkini termasuk 181 wanita dan 14 kanak-kanak,” kata pegawai kanan polis.

Junaidi Yahya, Ketua Palang Merah di Lhokseumawe memaklumkan kumpulan itu kini ditahan di lokasi sementara.

“Kami berharap mereka dapat dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini, tetapi kesihatan mereka, terutama yang berkaitan dengan Covid-19 adalah perhatian utama kami,” kata Yahya.

Di dalam kumpulan itu terdapat seorang remaja berusia 13 tahun yang sakit dan telah dibawa ke hospital.

Ketibaan hari ini adalah selepas kedatangan bot lain pada akhir Jun lalu.

Kumpulan seramai 100 orang itu telah diselamatkan oleh nelayan Aceh termasuk 79 wanita dan seorang kanak-kanak selepas pihak berkuasa menghalau mereka keluar dari perairan negara.

Ribuan etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar dan kem pelarian di Bangladesh, dalam usaha untuk mencari perlindungan di negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Chris Lewa, pengarah Projek Arakan, sebuah badan bukan keuntungan berkata, pelarian yang tiba di Aceh pada hari ini telah berlayar dari selatan Bangladesh pada akhir bulan Mac atau awal April, menuju ke Malaysia.

Tetapi kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Thailand tidak membenarkan mereka masuk susulan kawalan ketat sempadan akibat wabak koronavirus.

Penyeludup dikatakan telah membahagi-bahagikan penumpang kepada berapa kapal, ada di antaranya berjaya mendarat di Malaysia dan Indonesia pada bulan Jun, tetapi beberapa ratus lagi berada di laut hingga malam Ahad.

Penyeludup telah menuntut pembayaran daripada keluarga mereka dalam beberapa minggu sebelum dibawa ke pantai, katanya.

“Penyeludup tidak menurunkan mereka secara keseluruhan kerana tidak semua orang membayar … Mereka pada dasarnya dijadikan tebusan di atas kapal,” katanya. – MalaysiaGazette