Home Nasional Mahkamah Rayuan sambung esok pendengaran rayuan 33 ADUN Sabah

Mahkamah Rayuan sambung esok pendengaran rayuan 33 ADUN Sabah

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pada sidang media bersama seramai 33 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang mencabar keputusan pembubaran DUN di mahkamah sebelum ini.

PUTRAJAYA – Prosiding pendengaran rayuan 33 wakil rakyat tentang kesahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Mahkamah Rayuan di sini ditangguhkan sehingga jam 12 tengah hari esok.

Keputusan itu bagi membolehkan kedua-dua pihak menyambung hujah menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berkaitan pembubaran DUN tersebut.

Mahkamah yang mula bersidang sejak 10.30 pagi tadi dengan tiga panel hakim di pengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama dua hakim lain ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian masih lagi belum selesai mendengar hujah.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli DUN merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Peguam mewakili 33 ADUN itu ialah Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin sementara Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh mewakili Tun Juhar.

Bagi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diwakili  Datuk Cyrus Das dan Kerajaan Negeri Sabah manakala Peguam Persekutuan Kanan Suzana Atan pula mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menolak permohonan gabungan ADUN itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan TYT Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN pada 30 Julai lepas.

David Shim menetapkan bahawa responden kedua dalam kes itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon Juhar, selaku responden pertama, membubarkan DUN.

Selain kata David Shim pengisytiharan pembubaran DUN itu juga adalah mengikut perlembagaan dan sah.

SPR kemudian menetapkan 12 September sebagai  tarikh penamaan calon dan 26 Sept tarikh pengundian. –MalaysiaGazette