Home Ekonomi MAHB unjur shopMYairports sumbang RM280j jualan

MAHB unjur shopMYairports sumbang RM280j jualan

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melawat barang jualan di shopMYairport selepas merasmikan platform e-dagang 'shopMYairport' di Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 07 SEPTEMBER 2020.

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menjangkakan platform e-dagangnya, shopMYairports menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus atau kira-kira RM280 juta jualan runcit kepada perolehan kumpulan.

Ketua Pengawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, jumlah keseluruhan jualan runcit adalah kira-kira RM2.8 bilion setahun.

Jelasnya, pengenalan platform atas talian itu adalah sebahagian daripada inisiatif transformasi digital 4.0 MAHB.

“Kami memang telah lama melakukan perancangan transformasi digital 4.0 tetapi ianya dipercepatkan disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Dengan itu, kami rasa bertuah kerana tidak perlu menambah perbelanjaan modal (capex) kerana memang sudah dalam perancangan,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran shopMYairports di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Tambah Mohd. Shukrie, sebagai pengendali lapangan terbang utama di Malaysia, MAHB perlu sentiasa bersedia dan kekal relevan terhadap perubahan pantas landskap pelanggan.

Mengulas mengenai produk terbaharunya itu, Mohd. Shukrie berkata, orang ramai kini boleh melayari pelbagai produk yang ditawarkan oleh para peruncit di lapangan-lapangan terbang MAHB termasuk Eraman, Heinemann, Karyaneka, Noodles, Retail One, Sama-Sama Hotel dan Sprint-Cass.

Katanya, platform e-dagang itu dilihat sebagai inisiatif lebih bermanfaat dalam menyediakan bantuan kepada para peruncit yang berhadapan cabaran getir akibat Covid-19.

MAHB sebelum ini telah menyediakan pelbagai program bantuan seperti menangguhkan pembayaran sewa, melanjutkan tempoh kredit sehingga 120 hari, melanjutkan tempoh terhadap kontrak yang baharu ditandatangani dan menganjurkan promosi jualan murah bagi mengosongkan inventori.

Menurut Mohd, Shukrie lagi, MAHB turut berhasrat untuk meluaskan fungsi e-dagang tersebut termasuk bekerjasama dengan penyedia e-dagang antarabangsa seperti Alipay.

“Kami telah berbincang sebelum ini tetapi tertangguh akibat Covid-19.

“Selepas sempadan dibuka semula, mungkin kita boleh laksanakan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette