Home Ekonomi Aliran trafik penumpang udara meningkat

Aliran trafik penumpang udara meningkat

Gambar hiasan

SEPANG- Terdapat tanda-tanda pemulihan dalam aliran trafik penumpang di lapangan terbang-lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pergerakan trafik pada Julai dan Ogos adalah sekitar 1.3 juta orang manakala pada Jun 2020 hanyalah 430,000.

“Walaupun ini merupakan satu petunjuk yang baik namun kita masih memerlukan lebih banyak masa untuk melihat angka-angka kembali ke paras sebelum penularan Covid-19.

“Di peringkat antarabangsa, IATA meramalkan penerbangan jarak dekat hanya akan pulih pada 2023 manakala penerbangan jarak jauh tidak akan pulih sehingga 2024,” katanya semasa menyampaikan ucapan pelancaran platform e-dagangan MAHB, shopMYairports di sini hari ini.

Tambahnya, terdapat banyak sebab yang diambil kira dalam unjuran berkenaan namun pembendungan wabak Covid-19 yang lemah di negara-negara maju serta membangun; penurunan perjalanan korporat dan keyakinan pengguna yang lemah menyumbang ke arah kelembapan trafik penumpang udara.

Mengulas lanjut dalam sidang media selepas itu, Ka Siong berkata, jumlah penumpang antarabangsa semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1 bermula 18 Mac lalu adalah kira-kira dua peratus sahaja manakala penumpang domestik sekitar tiga peratus.

Angka tersebut meningkat secara purata 42 peratus di semua 39 lapangan terbang kendalian MAHB.

Ketika ditanya mengenai cadangan pakar-pakar supaya syarikat penerbangan tempatan bergabung bagi mengurangkan impak kerugian akibat Covid-19, Ka Siong berkata, kerajaan belum menerima apa-apa kertas cadangan berhubung perkara tersebut.- MalaysiaGazette