Home Dunia Navalny sudah sedar

Navalny sudah sedar

Alexei Navalny. foto Agensi

BERLIN – Doktor yang merawat pemimpin pembangkang Rusia memaklumkan Alexei Navalny sudah tidak koma dan keadaannya bertambah baik

Dia bertindak balas terhadap rangsangan verbal, kata mereka.

Navalny, 44, diterbangkan ke Jerman selepas tiba-tiba jatuh sakit dalam penerbangan di Siberia pada bulan Ogos lalu.

Para penyokongnya mendakwa Navalny diracun atas arahan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Namun Putin menyangkal dakwaan tersebut.

Para doktor mendakwa pengkritik itu diracun dengan agen saraf Novichok.

Pada hari Isnin, Hospital Charité di Berlin dalam satu kenyataan berkata, Nalvany sudah tidak menggunakan mesin pernafasan.

”Dia bertindak balas terhadap rangsangan verbal. Masih terlalu awal untuk mengukur kemungkinan kesan jangka panjang akibat keracunannya yang teruk,” kata hospital tersebut.

Jurucakap Navalny, Kira Yarmysh dalam ciapannya berkata: “Berita tentang Alexei Navalny. Hari ini dia sudah sedar dari koma yang disebabkan. Secara beransur-ansur dia akan berhenti daripada menggunakan mesin pernafasan. Dia memberi maklum balas”.

Navalny jatuh sakit pada 20 Ogos ketika dalam penerbangan dari Tomsk ke Moscow.

Para penyokongnya mengesyaki racun diletakkan di dalam cawan teh yang diminum semasa di lapangan terbang Tomsk.

“Nalvany mengerang dan menjerit. Dia jelas kesakitan. Dia menggelupur di lantai di bahagian pesawat,” kata seorang penumpang yang duduk berhampiran Navalny di pesawat itu.

Pesawat itu dialihkan ke Omsk, yang mana ahli politik pembangkang dimasukkan ke hospital kecemasan.

Pegawai Rusia pada mulanya enggan membenarkan Navalny dipindahkan ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan tetapi setelah tiga hari dia diterbangkan oleh ambulans udara ke Berlin.

Minggu lalu, doktor di Jerman mengatakan hasil ujian toksikologi yang dilakukan di makmal tentera mendapati ada “bukti tegas” bahawa Navalny diracun dengan agen saraf Novichok.

Doktor di Omsk menegaskan bahawa tidak ada bahan beracun yang dapat dikesan di tubuh Navalny ketika dia berada di bawah jagaan mereka.

Pada hari Isnin, Kremlin mengatakan “tidak masuk akal” untuk menyalahkan Rusia atas keracunan Navalny.

“Percubaan untuk mengaitkan Rusia dengan apa yang berlaku tidak dapat diterima oleh kami, itu tidak masuk akal,” kata jurucakap Putin, Dmitry Peskov,. – MalaysiaGazette