LONDON – Penyerang muda Manchester United, Mason Greenwood mengakui kesalahannya yang melanggar disiplin bersama pasukan kebangsaan England.
Pemain berusia 18 tahun itu turut berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.
Minggu lalu, Greenwood mendapat kejutan apabila dia dipanggil untuk pertama kalinya ke pasukan kebangsaan senior oleh Gareth Southgate.
Namun dia dihantar pulang lebih awal setelah melakukan aksi pertama dalam perlawanan menentang Iceland.
Greenwood dan pemain Manchester City, Phil Foden ditangkap membawa wanita ke hotel oleh pihak berkuasa Iceland yang menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
“Setelah merenungkan apa yang berlaku, saya hanya dapat meminta maaf atas tingkah laku memalukan saya,” jelas Greenwood di laman web rasmi MU.
Greenwood juga meminta maaf terutama kepada Gareth Southgate kerana mengecewakan kepercayaan jurulatih kepadanya.
“Saya rasa bersalah pada diri kerana melanggar SOP Covid-19 yang telah diterapkan untuk melindungi pemain, kakitangan dan orang ramai.
“Secara khusus saya meminta maaf kepada Gareth Southgate kerana mengecewakannya, walaupun dia sangat percaya pada saya.”
Greenwood mengakui bahawa dia telah mendapat pelajaran dari kesilapan ini.
Dia berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan itu dan akan berjuang untuk dipanggil pasukan kebangsaan England lagi. – MalaysiaGazette