KOTA KINABALU – Parti Cinta Sabah (PCS) yang diterajui Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan akan bertanding di 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.
Sebanyak 73 kerusi DUN di pertandingkan di PRN Sabah yang ke-16.
Berbanding dengan pengumuman oleh parti-parti lain yang kebanyakkan bertanding kerusi tradisi atau ‘boleh menang’, PCS mengambil langkah berani bertanding hampir kesemuanya kecuali N68 iaitu Apas kerana ketiadaan calon.
Kata Anifah kepada media sebentar tadi, partinya tidak mahu mengecualikan mana-mana kerusi kerana perjuangan membela nasib serta keistimewaan mereka perlu dilakukan secara menyeluruh.
“Saya percaya seluruh kawasan di Sabah ini menginginkan calon-calon dan wakil-wakil dari PCS, barangkali tidak adil jika 73 kawasan kita cuma tanding 60 kawasan kerana hakikatnya kita mahu bela baki kawasan itu.
“Kita mahu menggunakan peluang ini untuk membela nasib semua. Kita memang adil dari awal lagi, Insya Allah jika parti ini memerintah tidaklah kawasan yang tertinggal kelak.
“Kita mahu adil, kita letak semua.
“Tidak sampai hati tidak bela kawasan tertentu atau kita hanya pilih kerusi tertentu sahaja. Kita tidak dapat bertanding kesemua 73 kerusi kerana satu itu ada sebabnya dan saya tidak boleh dedahkan itu ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman calon serta penyerahan watikah di Hotel Le Meridian di sini sebentar tadi.
Rata-rata calon yang diketengahkan adalah muka baharu namun cukup arif dengan kawasan masing-masing selain banyak mempertaruhkan golongan muda di mana calon paling muda berusia 24 tahun.
PCS yang sebelum ini dikenali sebagai parti etnik Kadazan-Dusun-Murut kini tampil lebih terbuka dengan wadah berbilang kaum.
Sebelum ini, PCS diterajui oleh bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Bumburing.
Anifah juga mendedahkan Wilfred enggan bertanding kali ini sebaliknya mahu memberikan perhatian penuh dalam memenangkan parti itu.
Dalam pada itu, Anifah yang juga bekas Menteri Luar akan bertanding di DUN Bongawan dalam Parlimen Kimanis pada PRN nanti.
Barisan Nasional (BN) meletakkan 31 calon menggunakan logo mereka sendiri manakala Bersatu pula 20 calon, Warisan pula sebanyak 58 kerusi bersama UPKO sementara DAP di 7 kerusi menggunakan logo Warisan.
PKR pula bertanding di tujuh kerusi menggunakan logo mereka dan bakinya pula menggunakan logo sendiri. – MalaysiaGazette