KOTA KINABALU- Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Magellan Sutera Resort bagi menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Kepimpinan parti Sabah.
Beliau yang tiba pada pukul 10.35 pagi diiringi Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Badan Pimpinan Negeri parti berkenaan Sabah Datuk Hajiji Noor .
Terdahulu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan selain Datuk Seri Bung Moktar Radin turut berada di resort tersebut.
Barisan kepimpinan parti-parti politik Sabah yang turut kelihatan adalah Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jefrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee selaku Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).
Manakala Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tiba di saat-saat akhir sebelum perjumpaan bermula.
BN semalam mengumumkan bertanding di 31 kerusi DUN Sabah.
Manakala Perikatan Nasional (PN) yang diwakili STAR, SAPP bertanding 29 kerusi.
Daripda 29 kerusi berkenaan dilihat satu kerusi bertindih dengan BN iaitu DUN Paginatan manakala dua bertembung dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) iaitu di Sook dan Tulid.-MalaysiaGazette