KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar akur dan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk mencalonkannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.
Dalam kenyataan kepada media, beliau menyatakan, keputusan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tenom semalam, menamakan Ketua Bahagiannya, Datuk Raimi Unggi sebagai calon bertanding di DUN Kemabong.
Katanya, beliau pasti, ramai pengundi Kemabong kecewa mendengar berita berhubung pencalonannya di DUN Melalap.
“Pelbagai persepsi timbul, namun, saya ingin jelaskan, saya amat sayangkan masyarakat Kemabong. Banyak telah kita tempuhi sepanjang 27 bulan ini.
“Banyak juga telah kita berjaya laksanakan, membawa nama Kemabong ke pesada dunia dengan tagline ‘KemabongOnsoi’, malah ada banyak lagi sebenarnya perancangan saya untuk DUN Kemabong,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 kira-kira dua tahun lalu, Jamawi bertanding kerusi DUN Kemabong atas tiket Barisan Nasional (BN), bagaimanapun, melompat parti menyertai Warisan.
Namun, kini beliau kembali pada parti asalnya, UMNO dan bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain menyokong Perikatan Nasional (PN).
Berikutan tindakannya menyertai Warisan, UMNO menerusi Raimi mengambil alih menyelia DUN Kemabong dan semalam, Badan Perhubungan Sabah menamakan Jamawi sebagai calon DUN Melalap.
Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenom itu, beliau memohon maaf dan terpaksa menenangkan ramai rakan serta penduduk Kemabong yang menyatakan kekecewaan mereka dengan keputusan pencalonan itu.
“Ramai yang menghubungi saya menyatakan kekecewaan. Sangat sebak dan sedih saya membaca luahan hati dan perasaan mereka semua. Maaf juga saya tidak dapat membalas satu persatu khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Whatapps yang dikirimkan.
“Apapun inilah politik. Tiada yang kekal. Insya-Allah, saya tidak akan berhenti membantu masyarakat Kemabong walau di manapun saya berada. Saya sangat sayangkan masyarakat Kemabong. Saya sangat rindu kamu semua.
“Khabarkan kepada saudara mara, sahabat, kenalan dan rakan taulan anda semua di DUN Melalap untuk bantu dan undi saya. Saya juga amat mengharapkan anda semua memberikan sokongan dan undi kepada sahabat saya Datuk Raimi Unggi, calon BN N43 Kemabong pada 26 September ini,” katanya.
Jamawi berharap, pengundi Melalap memberi peluang kepadanya bertanding di DUN itu kali ini, iaitu ibarat pulang ke kampung sendiri.
“Saya yakin saya boleh membuatkan sesuatu yang lebih baik untuk DUN Melalap kelak. Yakinlah kepada saya. Saya akan bekerja dan berkhidmat untuk anda semua. Saya akan buktikan. Bantu saya ya,” katanya. – MalaysiaGazette