
SHAH ALAM – Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan sindiket Macau Scam melibatkan wang tunai berjumlah RM200,000 dua tahun lalu.
Tertuduh, Lee Soon Chiang, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya secara tidak jujur menyembunyikan harta milik Yap Chooi Lee, 60, berupa wang tunai berjumlah RM200,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh, dua tahun lalu.
Perbuatan itu dilakukan pada 23 dan 25 Julai 2018 di Ambank cawangan Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam.
Sebanyak 22 pertuduhan dibacakan ke atas Soon Chiang hari ini mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.
Berikutan itu sekiranya tertuduh didapati melakukan kesalahan tersebut, dia boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Norbaizura Mohd Saubian menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana terpaksa menanggung bapa yang merupakan pesakit strok dan empat adik-beradik lain.
Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin.
Hakim juga mengenakan syarat tambahan di mana tertuduh perlu menyerahkan pasport perjalanan antarabangsa ke mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Oktober depan. – MalaysiaGazette