KOTA KINABALU – Keutamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah memastikan tidak ada yang ketinggalan mendapatkan bantuan untuk menerima pendidikan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, tidak mampu bukan alasan kerana kerajaan tidak akan terlepas pandang untuk terus memberikan bantuan.
“Saya hendak menyatakan, adalah menjadi keutamaan kerajaan hari ini untuk menentukan setiap anak-anak Malaysia dapat ilmu pengetahuan.
“Kerajaan tidak akan terlepas pandang kepada mana-mana pelajar, memberi sokongan sebanyak mungkin untuk anak-anak kita menguasai sebanyak mana ilmu.
“Dengan ilmu pengetahuanlah kita dapat memastikan masa depan terjamin walaupun kita miskin,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perjumpaan Bersama Warga IPT Sabah dan Penyampaian Tawaran Program Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) Yayasan Tenaga Nasional di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.
Menurut Muhyiddin, walaupun Malaysia kini negara termaju di antara negara membangun namun hakikatnya masih jauh dengan negara lain khususnya dalam bidang sains teknologi.
“Ini bermakna untuk membentuk generasi masa depan pokok pangkalnya adalah ilmu pengetahuan. Sebab itu tidak ada sebab di kelompok mana masyarakat kita hatta pelusuk pedalaman sekalipun,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Muhyiddin menyeru semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara menyusun program-program berdasarkan kelebihan masing-masing .
Selain itu pensyarah juga ujarnya perlu berani untuk memberikan sumbangan berlainan daripada konsep pengajaran seperti kebiasaan sebaliknya boleh menjadi pakar penyelidik kepada masyarakat dan negara dalam bidang masing- masing.
Antara aspek penyelidikan yang boleh dijalankan adalah berkaitan dengan isu terkini iaitu impak meluas akibat Covid-19.
“Walaupun pada prinsipnya, ahli akademik wajib menjalankan penyelidikan untuk meneroka ufuk ilmu, membina kepakaran, namun masih banyak ruang dalam penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk manfaat masyarakat awam. Ahli akademik perlu mengubah corak pemikiran dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’.
“Dalam konteks ini, hala tuju penyelidikan perlu sejajar dengan cabaran dan mengupas persoalan yang dihadapi oleh komuniti setempat, bangsa dan masyarakat sejagat. Cabaran-cabaran semasa yang sedang kita hadapi termasuk pandemik Covid-19, usaha pemulihan ekonomi dan melaksanakan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama, isu-isu Keselamatan dan Anti-Keganasan atau Security and Anti-Terrorism, Kedaulatan dan Jaminan Makanan atau Food Security and Sovereignity dan Eko Pelancongan atau Eco-Tourism, kesemuanya ini merupakan antara cabaran yang perlu diberi perhatian, khususnya warga akademik,” ujarnya.-MalaysiaGazette