Home Utama Covid-19: Kes baharu melonjak 182

Covid-19: Kes baharu melonjak 182

Foto hiasan

KUALA LUMPUR- Kes baharu positif Covid-19 hari ini melonjak kepada 182 yang mana 181 kes adalah jangkitan tempatan dan hanya satu kes import yang melibatkan seorang warganegara Filipina di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 14 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar sekali gus menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 501.

Daripada 181 kes tempatan itu, sebanyak 90 kes melibatkan warganegara Malaysia manakala 91 melibatkan bukan warganegara.

Kesemua kes tempatan yang melibatkan warganegara asing berlaku di dalam Kluster Benteng di Sabah.

Mengulas lanjut, Kluster Benteng di Sabah merekodkan keseluruhan 167 kes baharu manakala Kluster Sungai dan Telaga di Kedah masing-masing menambah 11 dan tiga kes baharu hari ini.

Tiada kematian dilaporkan, sembilan pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette