Home Sukan Kejuaraan B19 AFC 2020 ditangguhkan 2021 – FAM

Kejuaraan B19 AFC 2020 ditangguhkan 2021 – FAM

Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang sepatutnya berlangsung di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober ini telah ditangguhkan ke awal tahun 2021.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dimaklumkan secara rasminya oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC yang berlangsung secara maya, petang semalam yang turut dihadiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selaku salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC.

Katanya, keputusan itu diputuskan dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu, sekali gus menyaksikan AFC tidak dapat meneruskan perancangan untuk mengadakan pusingan akhir kejohanan berkenaan mengikut tarikh yang ditetapkan itu.

“Pihaknya akan menyusun semula perancangan skuad B-19 kebangsaan untuk disesuaikan dengan tarikh baharu kejohanan yang akan diumumkan oleh AFC nanti.

“Dengan berita penangguhan ini, kem latihan pusat Fasa 3 yang sepatutnya diadakan sepanjang September ini dibatalkan, begitu juga dengan perlawanan-perlawanan persahabatan yang telah dirancang sebelum ini.

“Ini bermakna, selepas berakhirnya kem latihan pusat Fasa 2 pada 29 Ogos 2020, para pemain telah dilepaskan terus untuk mereka kembali ke pasukan negeri/kelab masing-masing bagi mengharungi baki saingan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah beliau, pihak Sekretariat FAM akan menyusun semula perancangan pasukan bersama dengan pihak pengurusan dan juga barisan kejurulatihan. Kita akan maklumkan nanti kepada para peminat dan juga pihak media.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Brad Maloney menerima berita penangguhan itu dengan nada positif biarpun pasukannya sudah pun melakukan persiapan awal sejak dari kem latihan pusat Fasa 1 bermula 6 Julai 2020.

“Sesuatu yang cukup baik untuk pasukan ini apabila kami telah dapat berlatih bersama sepanjang kem latihan pusat Fasa 1 dan Fasa 2.

“Tapi apabila pengumuman penangguhan ini telah pun dibuat oleh pihak AFC demi kesihatan dan keselamatan semua pemain dan pegawai pasukan terlibat, kita perlu menghormatinya.

“Kemudian nanti apabila kita sudah mendapat tarikh baharu kejohanan pada 2021 itu, kita akan memuktamadkan semula perancangan pasukan,” jelasnya.

Pada majlis undian Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun 2020, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yemen.-MalaysiaGazette