LONDON – Pengurus Wolverhampton Wanderers Nuno Espirito Santo akan memperbaharui kontrak bersama kelab itu untuk kekal lebih lama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Nuno mempunyai kontrak berbaki setahun lagi namun pengurusan tertinggi kelab berkenaan mahu Nuno, 46, menyambung kontrak dan terus berbakti untuk kecemerlangan pasukan itu.
Jurulatih warga Portugal itu berjaya membawa Wolves yang selalunya menghuni kedudukan tengah carta ke pusingan suku akhir Liga Europa yang pertama dalam sejarah kelab itu.
Laporan di London mendakwa beberapa siri rundingan sedang diadakan bersama Nuno dan keputusan dijangkakan tidak lama lagi.
Kejayaan Nuno membawa pasukan antara pesaing kuat di pentas antarabangsa berjaya meyakinkan pentadbir kelab itu bahawa Nuno adalah individu paling layak membawa kecemerlangan untuk kelab tersebut.
“Dari segi kontrak, saya tidak perlu risau kerana itu bukan tugas saya.
“Saya tidak berunding mengenai kontrak.. saya hanya menunggu e-mel atau sebarang panggilan yang akan menyebut ‘teruskan tugas kamu’ daripada kelab,” kata Nuno.
Wolves akan bertemu Sheffield United dalam aksi pembukaan kempen EPL musim 2020/21 hari ini.
Walaupun Wolves hanya merekrut tiga pemain baharu dalam pasukan kali ini termasuk pembelian pemain Porto berusia 18 tahun, Fabio Silva, Nuno masih berpendapat pasukanya belum lengkap.
Wolves dijangka mengemukakan tawaran baharu untuk pemain bek pertahanan Arsenal Ainsley Maitland-Niles.
Ainsley pula akan mengisi kekosongan Matt Doherty yang akan menyertai skuad Jose Mourinho.-MalaysiaGazette