Home Nasional PRN Sabah: Tidak demokratik SPR hanya benarkan media rasmi – Fahmi Fadzil

PRN Sabah: Tidak demokratik SPR hanya benarkan media rasmi – Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil . foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hanya membenarkan media rasmi berada di dalam Pusat Penamaan Calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini sebagai tidak wajar dan sangat mendukacitakan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmy Fadzil berkata, kenyataan SPR yang melarang media-media lain selain Berita Nasional (Bernama), RTM, Jabatan Penerangan dan Finas merupakan tindakan tidak berdemokrasi dalam melaksanakan kebebasan media.

“Saya difahamkan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah mengarahkan hanya media rasmi Bernama, RTM – Radio Televisyen Malaysia, Jabatan Penerangan dan Finas sahaja dibenarkan membuat liputan di dalam pusat-pusat penamaan calon bagi PRN Sabah tetapi semua media lain tidak dibenarkan.

“Ini adalah satu perkembangan yang mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Kerana pendaftaran awal semua pengamal media yang berminat membuat liputan di setiap pusat penamaan calon boleh dilakukan bagi mengawal jumlah yang hadir di mana-mana satu pusat penamaan calon,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Pemimpin PKR itu menyifatkan langkah suruhanjaya tersebut yang tidak demokratik itu adalah satu kekhilafan yang melanggar semangat usaha reformasi pilihan raya.

“Saya pohon pihak SPR segera memberi penjelasan, serta memberi jaminan akan memberi akses kepada media di pusat penamaan calon bagi proses penjumlahan dan pengumuman keputusan PRN Sabah pada 26hb September nanti,” ujarnya.

Pagi ini SPR dalam kenyataannya berkata, langkah itu diambil berikutan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard Khas yang ketat dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 di negara khususnya di Sabah ketika ini.

Katanya, ia adlaah langkah mencegah risiko penularan Covid-19 di pusat-pusat tersebut. – MalaysiaGazette

 

PRN Sabah: Media rasmi sahaja dibenarkan masuk ke Pusat penamaan Calon