Home Sukan Melaka selesaikan penswastaan pasukan sebelum tarikh akhir – FAM

Melaka selesaikan penswastaan pasukan sebelum tarikh akhir – FAM

Kunjungan hormat dan perbincangan presiden FAM Datuk Hamidin bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman semasa kunjung hormat ke Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuji kesungguhan dan komitmen Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) yang berjaya menyelesaikan proses pensyawastaan pasukan itu sebelum tarikh tutup yang ditetapkan iaitu pada akhir September ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin merakamkan penghargaan itu kepada Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali,yang mengadakan kunjungan hormat di Wisma FAM, semalam.

Katanya, dalam pertemuan itu kedua-dua pihak telah bertukar pandangan serta berkongsi maklumat terkini mengenai proses penswastaan dari persatuan (FA) ke kelab (FC) serta syarat-syarat pelesenan kelab, status kewangan MUSA, peta hala tuju FAM serta visi dan misi Malaysian Football League (MFL).

Perbincangan dua hala barisan jawatankuasa kepimpinan Pasukan MUSA dipimpin Ketua Menteri Melaka merangkap presiden pasukan, bersama Presiden FAM Datuk Hamidin di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.Foto Ehsan: FAM

“Saya berpuas hati dengan perbincangan dua hala yang diadakan, dan syabas kepada pemegang jawatan dalam MUSA kerana berjaya menyelesaikan proses penswastaan sebelum tarikh tamat, hujung bulan ini.

“FAM berbesar hati menerima kunjungan hormat Sulaiman dan delegasi MUSA yang menggambarkan komitmen mereka untuk mendalami dasar-dasar serta usaha-usaha yang FAM lakukan.

“FAM juga diberi taklimat mengenai kedudukan kewangan MUSA yang tetap komited dalam memenuhi semua kriteria dan syarat-syarat yang terkandung dalam pelesenan kelab FAM yang jelas membuktikan keprihatinan dan kesungguhan beliau dalam memimpin MUSA,” katanya dalam kenyataan pada laman rasmi Facebook FAM.

Menurutnya, Sulaiman juga berjanji FAM bahawa pihaknya akan sentiasa memastikan MUSA mematuhi peraturan bola sepak FAM dan MFL dalam usaha menaikkan lagi mutu serta prestasi pasukan.

Datuk Hamidin juga menerangkan perancangan membina ibu pejabat baharu FAM serta pusat latihan kebangsaan moden di Putrajaya yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi yang mana FAM dalam proses rundingan akhir dengan pihak berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM yang juga Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr.Hasim Hasan dan barisan exco MUSA.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menakala Stuart membentangkan secara ringkas rumusan program FAM termasuk peta hala tuju F:30, manakala Datuk Ghani memberi penerangan mengenai peranan MFL dan rangka tindakan strategik MFL, Next50. – MalaysiaGazette