Home Politik Calon Ketua Menteri dipilih apabila cukup kerusi bentuk kerajaan baharu – Zahid

Calon Ketua Menteri dipilih apabila cukup kerusi bentuk kerajaan baharu – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Jawatan Ketua Menteri Sabah akan hanya dipilih oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Ketua Badan Pimpinan Parti Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah jika Gabungan Rakyat Sabah memenangi pilihan raya negeri itu.

Sementara itu, Hajiji dilaporkan menerima cadangan Muhyiddin yang mencalonkan beliau sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bukan keutamaan ketika ini kerana lebih penting ialah memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

Hajiji yang bertanding atas tiket PN menghadapi persaingan tiga penjuru apabila berdepan Aliasgar Basri (Warisan) dan Rekan Hussein (Parti Cinta Sabah).

Hajiji adalah penyandang DUN Sulaman selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau menang dengan majoriti 7,774 undi menewaskan parti Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS). – MalaysiaGazette