KUALA LUMPUR – Besarnya pengorbanan Pas untuk rakan-rakan gabungan di Sabah, kata Ketua Armada Nasional Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Katanya, beliau menyanjung tinggi atas kematangan pendirian dan sikap positif yang ditonjolkan kepimpinan Pas kerana berbesar hati menerima keputusan pencalonan bagi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kami amat menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada sahabat Pas, khususnya melalui kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan rakan sejawatan saya, Ir. Khairil Nizam Khirudin.
“Jelas di sini, pengorbanan besar ini adalah bukti kesetiaan, keikhlasan dan muafakat demi memastikan kemenangan bersama kita sebagai sebuah perikatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pada penamaan calon PRN Sabah hari ini, Pas tidak meletakkan calon walau di satu kerusi pun, kerana memberi peluang kepada rakan partinya, Bersatu dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, pengorbanan besar itu akan dapat memastikan tiada pertembungan lebih daripada dua penjuru dan PN dapat membariskan calon tunggal yang ‘wajib menang’.
Armada Nasional kata beliau, akan berdiri bersama Pas yang meletakkan keutamaan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) akan datang.
“Sebagai sebuah parti yang berpengaruh di Semenanjung Malaysia khususnya di Pantai Timur, Pas mempunyai kekuatan untuk menjamin kemenangan rakan dalam PN di seluruh negara.
“Demi mencapai matlamat ini, amatlah penting bagi semua teraju utama parti untuk berunding dengan lebih terbuka dan ikhlas.
“Bersatu, khususnya Armada Nasional mengulangi tekad untuk meneruskan kerjasama dengan Pas di bawah panji PN.”
katanya. – MalaysiaGazette