Home Nasional 10 saksi beri keterangan kes prebet jatuh dari tingkat 3 kem

10 saksi beri keterangan kes prebet jatuh dari tingkat 3 kem

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Polis sudah merakamkan keterangan 10 saksi bagi membantu kes kematian Prebet Abdul Aziz Aznam yang jatuh dari tingkat 3 bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat hujung bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka terdiri daripada 2 pegawai dan 7 anggota tentera pangkat rendah serta seorang orang awam.

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasat, tiada unsur jenayah yang dikesan menjadi punca kematian dan polis masih menunggu laporan makmal untuk maklumat lain berkaitan.

“Kita sudah ambil keterangan saksi seorang anggota tentera yang nampak (Aziz) lari dan lompat terjun ke bawah dari tingkat 3,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Aziz mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia selepas didapati jatuh dari tingkat 3 bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat pada 28 Ogos lalu.

Aziz meninggal dunia pada 2.30 petang 6 Sept lalu ketika dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat.

— BERNAMA