KUALA LUMPUR- Manchester United akan mendapat potongan harga sehingga 10 juta Euro jika berjaya mendapatkan pertahanan kiri milik FC Porto, Alex Telles pada musim panas ini.
A Bola melaporkan United akan mendapat potongan harga khas untuk perpindahan Alex Telles apabila Brazil itu mempunyai klausa pelepasan bernilai 40 juta Euro namun United hanya perlu membayar 30 juta Euro.
Baki kontrak pemain itu bersama FC Porto akan berakhir pada bulan Jun 2021 dan pemain ini menolak untuk memperbaharui kontrak baru bersama kelab itu.
Menurut laporan yang sama, United harus bersaing dengan beberapa kelab lain untuk mendapatkan Alex Telles.
Salah satu kelab yang serius mendapatkan khidmat bekas pemain Inter Milan ini ialah Wolves.
Laporan sama mendedahkan kelab gergasi Portugal itu terpaksa membuat pendekatan itu kerana tidak sanggup kehilangan pemain itu secara percuma pada musim depan.
Setelah mendapatkan Donny van de Beek dari Ajax, United masih berusaha untuk membeli pemain baru.
Sebelum ini mereka dikaitkan bakal mendapatkan Sergio Reguilon namun sumber lain mendedahkan rundingan dengan Real Madrid menemui jalan sukar.
Madrid pada mulanya hanya mahu melepaskan Reguilon secara pinjaman.Namun, baru-baru ini kelab Sepanyol itu ingin melepaskannya secara kekal dengan klausa pembelian balik pada masa akan datang.
Sementara itu, Telles telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan Porto pada musim 2019/2020.
Bermain sebagai bek kiri, dia tampil agresif dengan mencatatkan 11 gol dalam Liga Perdana Portugal dan membuat 12 bantuan.
United melihat pemain berusia 27 tahun itu akan menjadikan bahagian pertahanan kiri lebih kuat untuk memberi saingan kepada Luke Shaw dan Brandon Williams mendapat tempat dalam barisan utama. – MalaysiaGazette