KUALA LUMPUR – Hati ibu mana yang tidak terluka apabila pemergian anaknya dikecam dan dipersendakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ibu kepada Allahyarham Sandra Dianne iaitu Nur Syakinah mengakui beberapa komen di media sosial mempersendakan kematian anaknya begitu mengguris hatinya.
Menurutnya, siapa yang tidak terasa apabila soal kematian anak menjadi modal kecaman manusia yang tidak berperikemanusiaan.
Tegasnya, individu tersebut tidak sepatutnya menulis komen sebegitu dalam keadaan keluarganya sedang berkabung.
“Terima kasih kerana anda sudi komen walaupun komen anda tak sepatutnya ditulis sebegitu.
“Saya tak mahu bercerita tentang ini tetapi memandangkan komen anda sinis dan memedihkan hati, sebagai seorang ibu yang kehilangan anak dalam kemalangan yang tragis ingin saya beritahu ya, anak saya yang awak cakap mati katak tu meninggal dalam keadaan menangis dan hidungnya berpeluh.
“Wajahnya bersih, tenang seperti orang sedang tidur. Keluarga kami sedang berkabung, berhati-hatilah dengan komen-komen anda.
“Saya yakin Allah tempatkan anak saya dalam kalangan orang-orang yang diredai. InsyaAllah,” tulis wanita berusia 46 tahun itu menerusi perkongsian di Facebook miliknya.
Nur Syakinah turut memuat naik paparan skrin komen yang ditulis oleh individu itu.
Terdahulu, Allahyarham Sandra, 36, yang juga peserta program Big Stage 2020 disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya, awal pagi Jumaat selepas terbabit kemalangan pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette