Home Ekonomi DUN Johor lulus Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor 2020

DUN Johor lulus Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor 2020

Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini, sebulat suara meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor 2020 berjumlah RM174.5 juta, dalam mendepani pandemik COVID-19.

Pakej rangsangan itu dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad pada persidangan tersebut Khamis lepas. Ia kemudian dibahaskan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pihak kerajaan dan tiga wakil pembangkang, selepas disokong oleh Datuk Samsolbari Jamali (PN-Semarang) pada hari sama.

Ia melibatkan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar), Najib Lep (PAS-Bukit Pasir), Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Rosleli Jahari (PN-Johor Lama), Chew Chong Sin (PH-Mengkibol) dan Datuk Zahari Sarip (PN-Buloh Kasap).

Sesi penggulungan pakej itu dibuat oleh Hasni pada persidangan hari ini sebelum diluluskan.

Daripada RM174.5 juta yang diperuntukkan untuk menjayakan pelaksanaan 54 inisiatif melalui peruntukan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), sebanyak RM2.292 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor Siri 1, yang diumumkan pada 20 Mac lepas sekali gus memberi manfaat kepada 658 penerima menerusi empat inisiatif.

Selain itu, RM28.74 juta diperuntukkan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor Siri 2 yang diumumkan pada 25 Mac lepas; RM11.19 juta untuk inisiatif Bantuan Ihsan Johor dan RM126.47 juta untuk inisiatif yang belum diumumkan meliputi sektor modal insan, pelancongan dan pembinaan.

Pada Khamis lepas, ketika membentangkan pakej itu, Hasni berkata pakej rangsangan tersebut adalah perlu memandangkan Johor dan ekonominya sangat terkesan oleh pandemik COVID-19, selain kejatuhan harga minyak, penutupan sempadan dan ketidakstabilan politik semasa.

“Johor dan Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan segetir ini sejak kemerdekaan. Apatah lagi cabaran yang tidak boleh kita jangkakan bila ia akan berakhir dan bagaimana ia akan berakhir.

“Saya boleh katakan bahawa kita sedang berada dalam zaman ketidaktentuan,” katanya.

Beliau berkata ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Johor antara negeri terawal yang mengumumkan pakej rangsangan ekonominya.

Katanya Johor juga negeri terawal mengumumkan pelan keluar pasca COVID-19, malah, yang pertama mengumumkan ikhtiar besar dalam mengharungi dunia selepas pandemik itu.

“Sesungguhnya masalah yang melanda kita sekarang tidak pernah dialami sebelum ini. Saya akui bahawa untuk Johor keluar daripada permasalahan sekarang amatlah sukar.

“Berbekalkan setiap pandangan, setiap saranan dan kritikan yang membina daripada semua, insya-Allah Johor akan kembali lebih makmur daripada sebelumnya,” katanya.- BERNAMA